fbpx

Klinik STL dianjur sempena Hari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERAMAI 150 pelajar berketurunan Orang Asli Temuan telah menyertai Klinik STL yang diadakan di SK Bukit Lanjan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 150 pelajar berketurunan Orang Asli Temuan telah menyertai Klinik Sepak Takraw League (Klinik STL) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lanjan, Selangor yang diadakan baru-baru ini.

Ini adalah klinik kedua diadakan selepas program pertama diadakan di Sekolah Kebangsaan TTDI 1 bulan lalu melalui kerjasama Klinik Penggalakkan Sukan dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sempena Hari Malaysia, Astro turut meraikan kepelbagaian dan kesaksamaan dalam kempen ‘Inilah KITA’ dan menyuntik semangat patriotisme di kalangan pelajar menerusi Klinik STL yang diadakan.

Selain itu, Klinik STL diserikan dengan kehadiran pemain-pemain dari pasukan Selangor Pistons dan Bomba Fighters sekali gus memberi peluang kepada semua golongan pelajar untuk mengenali dan mendekati idola mereka serta mempelajari asas-asas sukan sepak takraw.

SEBAHAGIAN pemain Bomba Fighters dan Selangor Pistons memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar pada Klinik STL di SK Bukit Lanjan baru-baru ini.

Penolong Naib Presiden Kanan ESG Astro, Jolyn Gasper berkata, objektif utama Klinik STL untuk memupuk minat serta mencungkil bakat di kalangan murid-murid dalam bidang sukan terutama sukan sepak takraw.

“Klinik STL itu juga merupakan inisiatif kelestarian dalam mengilap bakat baru serta melahirkan atlit berprestasi tinggi atau jaguh sukan di peringkat antarabangsa suatu hari nanti.

“Klinik STL yang telah memasuki musim kedua ini semakin meriah di mana kita akan menjelajah ke sekolah terpilih seperti Wilayah Persekutuan, Selangor, Terengganu dan Perak.

PERLAWANAN pertunjukkan yang diwakili oleh pelajar sekolah dan pemain STL yang hadir pada program Klinik STL di SK Bukit Lanjan baru-baru ini.

“Bukan itu sahaja, dua lokasi Klinik STL iaitu di Pulau Pinang dan Johor akan dibuka kepada generasi muda yang berumur 13 sehingga 17 tahun tidak kira lelaki atau wanita dapat menyertainya,” katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya turut berbesar hati dengan sokongan dana yang diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan sokongan penganjuran oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan memberikan pengiktirafan markah PAJSK berbentuk merit penglibatan dan penyertaaan peringkat negeri kepada pelajar-pelajar yang menyertai program pembangunan bakat ini.

Demi memupuk semangat mereka untuk bersukan dan minat kepada sukan tradisi ini, Astro turut memberi tiket percuma kepada pelajar-pelajar yang terlibat dengan Klinik STL untuk menyaksikan kejohanan STL yang terunggul ini di setiap negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI