KEMAMAN – Seorang kelindan lori warga India maut selepas lori kargo yang dinaikinya merempuh sebuah lori lain yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer (KM) 257.89 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di sini, semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 7 pagi itu, mangsa, B. Kali Muthu, 39, meninggal dunia akibat parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan, manakala pemandu lori, M. Gengan, 57, yang berasal dari Klang, Selangor pula parah di kepala serta kaki.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar gulungan tembaga ke Kawasan Perindustrian Kerteh di sini dari Klang, Selangor.
“Kemalangan dikatakan berlaku selepas lori kargo dipandu Gengan terlanggar bahagian kanan belakang sebuah lori membawa muatan makanan haiwan yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.
“Ia menyebabkan lori kargo tersebut hilang kawalan lalu terbalik merintangi lebuh raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, Kali Muthu maut akibat tertindih dalam gulungan tembaga muatan lori kargo yang terbalik itu.
Mayatnya berjaya dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas serta bantuan kren sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman, di sini untuk tindakan lanjut.
“Pemandu lori kontena yang cedera pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE