SHAH ALAM – IJLM Land Berhad (IJM Land) menyasarkan penanaman 2,000 pokok melibatkan 35 spesis sebagai komitmen pihaknya dalam kempen penghijauan di Taman Linear, Rimbayu di sini.
Pengurus Besar Kanan IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, ia mencerminkan visi jangka panjang pihaknya dalam menyepadukan kemampanan alam sekitar dan pembangunan komuniti setempat.
Katanya, program penanaman tersebut juga menggalakkan orang ramai menderma menerusi harga pokok bernilai RM25.
“Projek ini adalah serampang dua mata iaitu sambil menghijaukan kawasan, orang ramai juga bagi mengumpul dana untuk menyokong infrastruktur dan pelbagai keperluan rumah-rumah kebajikan.
“Ini seterusnya dapat membantu kanak-kanak tersebut mendapat akses kepada penjagaan dan kemudahan lebih baik,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IJM Land, Datuk Wong Tuck Wai dan CEO Yayasan Feruni, Datuk CC Ngei menanam 204 pokok bersama 110 kanak-kanak dari tujuh buah rumah kebajikan dibawah Yayasan Feruni.
Kian Soon menambah,pihaknya berharap dengan pembangunan hijau Taman Linear yang berkeluasan 2.5 hektar tersebut dapat menyemai sikap tanggungjawab untuk mewariskan alam sekitar kepada generasi akan datang.
Dalam pada itu, Ngei memaklumkan aktiviti berasaskan kebajikan itu membolehkan kanak-kanak tersebut memainkan peranan aktif dalam komuniti dan mendapat pemahaman lebih mendalam tentang pemuliharaan Alam sekitar.
“Pada hari ini, sebanyak tujuh buah rumah daripada 10 buah rumah kebajikan terlibat dengan dana diperoleh akan memberikan manfaat langsung kepada memperkasakan kehidupan mereka,” katanya. -KOSMO!ONLINE