PETALING JAYA – Selepas hampir lapan dekad beroperasi, Tupperware Brands Inc (Tupperware) dan beberapa anak syarikatnya memfailkan perlindungan kebankrapan Chapter 11 hari ini apabila prestasi perniagaannya semakin merudum.
Perkara itu turut menjadi bualan dalam kalangan pengguna terutama rakyat Malaysia yang sememangnya menjadi pembeli tegar produk jenama tersebut.
Rata-ratanya terkejut apabila mengetahui syarikat pembuat bekas plastik dan produk rumah itu berdepan masalah kewangan yang teruk sehingga terpaksa mendapatkan kelulusan bagi proses penjualan perniagaan tersebut untuk melindungi jenamanya.
“Tupperware dah fail bankrap. Menangis mak-mak kalau dengar ini, boleh jadi barang ‘rare’ macam RXZ dah selepas ini.
“Harga pun tengah mendadak jugak turun, boleh la beli sementara murah. Tak apalah, selepas ini pakai bekas kedai ‘exoshop’ sahaja lah,” itu antara reaksi yang diberikan orang ramai menerusi perkongsian di media sosial.
Sementara itu, ada juga pengguna meluahkan rasa sedih apabila selepas ini tiada lagi perjumpaan bulanan yang mengumpulkan barisan ejen Tupperware bagi memperkenalkan produk baharu sebelum dipromosikan kepada pembeli.
“Sedih la pula bila tahu nak tutup. Barang kegemaran mak aku ini sejak puluhan tahun. Nampaknya lepas ini mak aku mesti sedih tak dapat berkumpul dengan geng berniaga dia,” kata Asyura. – KOSMO! ONLINE