fbpx

9 maut, ribuan cedera alat kelui meletup di Lebanon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai mengerumuni ambulans di pintu masuk Pusat Perubatan Universiti Beirut Amerika. - AFP

BEIRUT – Serangan didakwa didalangi Rejim Zionis yang menyasarkan kumpulan pejuang Hizbollah mencederakan beribu-ribu orang dan meragut beberapa nyawa apabila alat kelui atau ‘pager’ meletup secara serentak di seluruh Lebanon, lapor saluran berita CNN. 

Menurut Menteri Kesihatan Lebanon, Firass Abiad, letupan itu mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan dan mencederakan 2,800 yang lain. 

“Kira-kira 170 orang berada dalam keadaan kritikal tetapi keadaan kecederaan lain masih belum jelas,” katanya. 

Rakaman video yang tersebar luas di media sosial dan agensi berita memaparkan letupan kuat di beberapa lokasi, manakala sejumlah besar orang mengalami kecederaan di bahagian muka, kehilangan jari serta luka berlubang. 

Insiden luar biasa itu berlaku di tengah-tengah peningkatan permusuhan antara Hizbollah dan Israel, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan di rantau tersebut. 

Menurut CNN, letupan itu adalah hasil operasi bersama antara perkhidmatan perisikan Israel, Mossad dan tentera Rejim Zionis. 

Meskipun tentera Israel berkata bahawa ia tidak akan mengulas mengenai letupan itu, Lebanon dan Hizbollah telah menyalahkannya atas serangan tersebut. Iran, yang menyokong Hizbollah, juga menyalahkan apa yang disebut sebagai ‘keganasan Israel’.

“Musuh penjenayah dan khianat ini pasti akan menerima hukuman yang setimpal atas serangan berdosa ini, dalam cara yang dijangka dan tidak dijangka,” kata Hizbollah. 

Duta Besar Iran di Lebanon, Mojtaba Amani, ialah antara yang cedera di Beirut di samping dua pekerja kedutaan, lapor media Iran. 

“Amani mengalami kecederaan parah dan kini dalam pemerhatian di hospital,” lapor agensi berita IRNA dengan memetik kenyataan isteri beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri Lebanon, Najib Mikati menyifatkan serangan tersebut sebagai ‘pelanggaran serius kedaulatan Lebanon dan jenayah mengikut semua standard’ dalam mesyuarat Kabinet, lapor saluran berita NNA. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI