KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan sebanyak 740 individu berkait siasatan ke atas GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) menerusi Op Global yang dilaksanakan baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 1,226 kekuatan anggota dan pegawai terdiri dari pelbagai agensi menjayakan operasi tersebut.
“Jumlah keterangan direkodkan, 30 adalah rakaman percakapan pengadu, saksi (216), mangsa (392) dan suspek (102).
“Jumlah kumulatif kertas siasatan yang telah dibuka bagi Fasa 1 dan 2 adalah sebanyak 33 kertas siasatan,” katanya hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan Op Global, Razarudin berkata, siasatan kini berada di fasa kedua bermula pada 11 September selepas fasa pertama dimulakan 2 September lalu.
Katanya, sebanyak 10 kertas siasatan dibuka pada Fasa 1 iaitu masing-masing enam di Selangor dan Negeri Sembilan (4), manakala Fasa 2 melibatkan 23 kertas siasatan iaitu 16 di Selangor, Negeri Sembilan (2), Perlis (1) dan Kuala Lumpur (1).
Semalam, Kosmo! melaporkan sebanyak 96 akaun bank berkait dengan GISBH dibekukan bernilai RM581,552 susulan serbuan Op Global, baru-baru ini.
Tindakan tersebut selepas siasatan dilakukan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menegaskan tidak mengadakan perbincangan dengan pengurusan GISBH susulan Op Global yang dijalankan.
Dalam pada itu, hanya dua daripada 20 buah rumah amal yang diserbu pasukan polis menerusi Op Global didapati berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Polis juga sudah kenal pasti kebanyakkan ibu bapa kepada 392 kanak-kanak yang diselamatkan.-KOSMO! ONLINE.