fbpx

648 mangsa banjir dipindahkan ke 11 PPS di P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS SK Lahar Yooi di Seberang Perai, semalam.

GEORGE TOWN – Seramai 648 mangsa banjir dari 173 keluarga dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) susulan kejadian banjir di beberapa kawasan di tiga daerah di Seberang Perai, semalam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang berkata, antara daerah yang terjejas banjir adalah di Seberang Perai Selatan, (SPS) Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU).

“Di daerah SPU sebanyak 471 mangsa dari 104 keluarga ditempatkan di empat PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, Sekolah Agama Rakyat Ar-Ridwan, SK Padang Menora dan Dewan Banjir Labuh Banting.

“Bagi daerah SPT, sebanyak 177 mangsa dari 45 keluarga ditempatkan di lima PPS iaitu di SK Penanti, Dewan Bukit Teh, Sekolah Menangah Kebangsaan (SMK) Permatang Rawa, SMK Permatang Pasir dan Sekolah Rendah Islam Maahad At-Tarbiah,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, di daerah SPS pula, dua PPS dibuka iaitu di Dewan Sungai Bakap dan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sanglang yang menempatkan 68 mangsa dari 24 keluarga.

“Berdasarkan situasi semasa, terdapat peningkatan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang berkuatkuasa sehingga esok.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam sidang akhbarnya semalam berkata, taburan hujan lebat direkodkan mencecah 110 milimeter per jam sehingga berlaku banjir kilat membabitkan 43 kawasan di SPT dan 28 kawasan di SPS.

Katanya, situasi banjir masih dipantau Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa.

Ketika ini, cuaca hujan melibatkan beberapa kawasan di daerah Barat Daya, Timur Laut dan Seberang Perai -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI