JERANTUT – Seramai 25 sekeluarga yang sedang berkelah berdepan detik cemas apabila dua daripada empat kereta yang diletakkan di tempat letak kereta dihempap sebatang pokok besar dalam kejadian hujan dan ribut di Air Terjun Lata Meraung di sini semalam.
Syed Norhaimi Syed Zin, 56, berkata, dia bersama keluarga yang terdiri daripada 10 dewasa dan 15 kanak-kanak sedang berkelah di destinasi popular itu sempena musim cuti sekolah.
Menurutnya, kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu menyebabkan kereta jenis Honda Stream dan Proton Exora rosak teruk di bahagian depan dan tengah kereta akibat dihempap pokok yang tumbang.
“Ketika kejadian saya dan ahli keluarga lain sedang berkelah dan berendam menikmati kedinginan air gunung tanpa tanda-tanda awal berlaku angin ribut yang sangat kuat menyebabkan suasana menjadi kelam kabut.
“Semasa sampai ke lokasi pada pukul 12 tengah hari cuaca hanya mendung biasa tanpa ada tanda-tanda akan hujan lebat atau ribut tetapi berubah dengan drastik sekitar pukul 1.30 petang,” katanya yang berasal dari Taman Sri Embun di sini.
Syed Norhaimi berkata, hujan turun dengan lebat disertai dengan angin kuat menyebabkan sebatang pokok besar tumbang dan menghempap dua buah kereta milik mereka.
Tambah beliau, semasa kejadian ramai ahli keluarga mandi bersama anak-anak kecil manakala yang lain sedang menyiapkan makanan tengah hari.
“Tidak sempat kami menjamah rezeki tiba-tiba hujan lebat disusuli ribut dengan angin yang kuat.
“Tiba-tiba terdengar dentuman kuat pokok tumbang menghempap kereta milik keluarga kami.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku walaupun ada ahli keluarga nyaris terkena dahan pokok yang tumbang semasa sedang mandi,” katanya. – KOSMO! ONLINE