ALOR SETAR – Kesemua 10 perjalanan feri Langkawi dua hala dari Terminal Feri Kuala Kedah terpaksa dibatalkan hari ini ekoran laut bergelora dengan ombak setinggi lima meter.
Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, pembatalan itu melibatkan empat perjalanan dari Langkawi dan enam perjalanan dari Kuala Kedah dengan 3,945 penumpang terjejas.
“Terdapat 10 perjalanan laluan feri Langkawi–Kuala Kedah–Langkawi hari ini iaitu pada pukul 10.30 pagi, 12 tengah hari, 1 dan 1.30 tengah hari dari Terminal Feri Penumpang Kuah dan 9.30 pagi, 10.30 pagi, 11.30 pagi, 12 tengah hari dan 1.30 tengah hari serta 2.30 petang dari Terminal Feri Kuala Kedah.
“Kesemua perjalanan itu dibatalkan hari ini kerana laut beralun teruk dengan ombak sehingga lima meter. Demi keselamatan semua 3,945 penumpang, kita terpaksa membatalkan trip tersebut,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, keadaan amat menggerunkan apabila ombak membadai feri termasuk feri terbesar dalam konsortium iaitu My Master pada pagi tadi.
Beliau menambah, penumpang terjejas boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan masing-masing.
“Feri tambahan akan disediakan melalui Terminal Feri Kuala Perlis, Perlis tertakluk kepada keupayaan terminal tersebut menerima jumlah penumpang serta paras air yang selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE