KLANG – Suasana di Jalan Batu Tiga di sini, gempar apabila sebuah restoran kosong berdekatan jalan utama musnah terbakar malam ini.
Kebakaran premis bersaiz banglo kira-kira pukul 8.20 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 8.26 malam dengan 23 anggota termasuk pegawai terlibat dalam operasi pemadaman.
Katanya, operasi melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Klang Utara, Andalas dan Shah Alam bersama lima jentera dan masing-masing sebuah sebuah van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).
“Pemeriksaan mendapati api sedang marak memusnahkan kedai berkelas A (banglo) yang ditinggalkan itu.
“Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal daripada merebak ke premis berdekatan lain dengan api dikawal pukul 8.55 malam. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE