fbpx

Taufan Yagi ragut lebih 200 nyawa di Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk dibantu meredah air banjir oleh anggota tentera di Pyinmana, wilayah Naypyidaw pada 13 September lalu. - AFP

NAYPYIDAW – Jumlah kematian akibat banjir besar di Myanmar yang dilanda Taufan Yagi meningkat dua kali ganda kepada 226, lapor media pemerintah, ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa seramai 630,000 orang mungkin memerlukan bantuan.

Yagi melanda utara Vietnam, Laos, Thailand dan Myanmar lebih seminggu lalu dengan angin kencang dan jumlah hujan yang banyak mencetuskan banjir serta tanah runtuh. Ia mengorbankan lebih 500 orang, demikian menurut angka rasmi.

Saluran televisyen Myanmar yang diperintah junta mengesahkan sebanyak 226 kematian lewat semalam, dengan 77 orang hilang.

Penyiar itu juga berkata, hampir 260,000 hektar sawah padi dan tanaman lain telah musnah akibat banjir.

Agensi tindak balas bencana Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA) berkata, dianggarkan 631,000 orang terjejas akibat banjir di seluruh Myanmar.

“Makanan, air minuman, tempat tinggal dan pakaian, semuanya sangat diperlukan,” kata UNOCHA sambil memberi amaran bahawa jalan-jalan terhalang dan jambatan rosak telah menghalang usaha bantuan.

Lebih 150,000 rumah dinaiki air, lapor akhbar Global New Light of Myanmar, manakala junta telah membuka lebih 400 kem bantuan.

Di seluruh Asia Tenggara, beratus-ratus ribu orang terpaksa melarikan diri sejak minggu lalu apabila hujan akibat Taufan Yagi membanjiri sungai dan anak sungai melebihi paras bahaya.

Ramai yang terpaksa mengharungi air banjir keruh hingga ke paras dagu, manakala yang lain menggunakan apa sahaja cara yang mereka mampu termasuk menunggang gajah di Myanmar dan jet ski di Thailand.

Sementara itu, wilayah utara Thailand dilanda banjir teruk, dengan satu daerah melaporkan bencana terburuk dalam tempoh 80 tahun.

Angka kematian di negara itu  meningkat kepada 15 hari ini, demikian menurut angka baharu dari Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana.

Di Vietnam, angka kematian berjumlah 292 orang, dengan 38 masih hilang, lebih 230,000 rumah rosak dan 280,000 hektar tanaman musnah, demikian menurut pihak berkuasa. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI