SERDANG – Tidak mengejar pengiktirafan antarabangsa terutama Oscar, pelakon Beto Kusyairy mengakui berpijak di bumi nyata sebelum memasang angan mengenggam trofi idaman semua penggiat industri perfileman dunia.
Kata Beto atau Nur Kusyairy Zakuan Osman, 44, kepuasan sebagai pelakon bukan mengenai anugerah sahaja, sebaliknya impak positif kepada masyarakat selepas mengikuti lakonannya yang merupakan pengiktirafan paling bermakna.
“Saya tidak pernah memburu anugerah antarabangsa mahupun tempatan kerana dari dulu saya terapkan pada diri sendiri supaya kerja sepenuh hati dan jangan mengharapkan trofi.
“Pengiktirafan pada saya adalah apabila hasil lakonan saya meninggalkan impak dan penonton terkesan, selebihnya adalah bonus,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media filem Gayong di Astana Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, semalam.
Begitupun, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) itu tetap menghargai trofi yang dianugerahkan pengelola tempatan bahkan menerimanya dengan hati terbuka.
“Saya tidak pernah pandang rendah anugerah tempatan sebab ‘hadiah’ itu datang dari negara sendiri dan peminat sendiri menonton dan menghargai hasil karya kita.
“Bila orang nak beri takkan saya nak tolak, jadi saya hargai, berterima kasih dan bersyukur.
“Tidaklah sampai terfikir anugerah tempatan tak setanding dengan bakat saya, ‘poyo gila’. Saya pun kena sedar diri di mana langit dijunjung,” jelasnya.
Pelakon filem Imaginur itu juga menitipkan pesanan bagi sesiapa sahaja pelakon yang mengejarkan anugerah dari luar negara, pastikan mereka sudah menyiapkan diri dengan cabaran yang lebih besar.
“Kita kena sedar diri kita siapa. Di mana tanah kita pijak, di mana langit kita junjung.
“Kalau nak kejar anugerah luar negara, pastikan sudah persiapkan diri baik-baik.
“Pergi luar negara dapat anugerah pasti orang Malaysia turut berbangga, tapi persiapkanlah diri dulu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Beto bakal membintangi filem epik berjudul Gayong yang akan memulakan penggambaran 5 Oktober ini dan dijadualkan menemui penonton pertengahan 2025.
Selain Beto, filem berkaitan tokoh seni silat tradisi itu turut membariskan Nabila Huda, Syafie Naswip serta aktor Indonesia yang mencipta nama di Hollywood, Yayan Ruhian. – KOSMO! ONLINE