Sambutan Maulidur Rasul adalah sambutan yang diadakan sempena hari kelahiran baginda Rasulullah SAW. Menurut pandangan sebahagian ulama seperti Imam Al-Suyuti, amalan tersebut adalah baik dan akan diberi pahala serta ganjarannya.
Asasnya kerana ia bertujuan melahirkan rasa cinta dan kasih sayang kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri, hartanya dan manusia keseluruhannya.” (Riwayat Muslim).
Hadis ini menunjukkan kepada kita semua bahawa antara salah satu tanda seseorang itu menyayangi baginda Rasulullah adalah terdapat dalam dirinya perasaan gembira dengan kelahiran baginda serta berbangga dengan apa yang dibawa baginda.
Nabi Muhammad SAW menjadi sumber inspirasi bagi umat Islam kerana berbagai aspek dalam kehidupannya yang mencerminkan nilai-nilai murni dan prinsip-prinsip baik yang diamalkan dalam kehidupan bersosial, bermuamalah dan bernegara. Antara sifat-sifat murni yang ada pada diri baginda adalah akhlak yang mulia, adil, sabar dan ahli ibadah.
Langkah kerajaan pada hari ini memperkenalkan konsep Malaysia Madani membina masyarakat dan negara yang harmoni, adil serta mengintegrasikan nilai-nilai murni dan etika dalam tatakelola sihat dalam semua aspek sosial, ekonomi dan negara. Negara madani adalah konsep yang sering digunakan dalam konteks politik dan sosial terutama di negara Muslim. Secara umum negara madani merujuk kepada negara yang diatur dengan prinsip-prinsip keadilan, kebersamaan dan etika tinggi yang mencerminkan nilai-nilai Islam dalam aspek pemerintahan dan kehidupan sosial.
Antara sifat keperibadian Rasulullah yang ada dan boleh dijadikan sumber inspirasi negara madani adalah dalam urusan mentadbir negara. Baginda sememangnya seorang yang berketerampilan dalam menjalinkan hubungan antarabangsa dengan negara luar.
Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah yang belaku pada tahun 628M, menjadi bukti kecekapan Baginda dalam menjalankan urusan bernegara. Umumnya Perjanjian Hudaibiyah ini berlaku apabila Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tidak dapat memasuki Kota Mekah dan akhirnya berlakulah perjanjian tersebut antara umat Islam dan kaum Quraisy. Meskipun perjanjian tersebut pada awalnya menunjukkan kerugian kepada kaum Muslim, namun suatu sudut yang tersirat baginda melihat perjanjian ini sebagai langkah strategik yang akan membuka jalan bagi penyebaran Islam lebih lanjut dan mengurangi konflik antara umat Islam dan kaum Quraisy. Perjanjian ini menunjukkan keadilan dan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW dalam membuat keputusan yang pada akhirnya menguntungkan umat Islam dan mengurangi ketegangan dengan kaum Quraisy.
Pernah juga berlaku pada zaman Nabi Muahamad SAW, di mana terdapat seorang wanita dari suku Quraisy yang status sosialnya adalah tinggi tertangkap kerana mencuri. Terdapat sebahagian masyarakat Madinah ketika itu meragui bahawa hukuman terhadap wanita itu akan diabaikan kerana status sosialnya.
Namun apa yang berlaku, Rasulullah tetap mengambil tindakan terhadap wanita itu dan telah menyatakan dengan tegas, “Jika Fatimah binti Muhammad sekalipun mencuri, maka aku akan memotong tangannya.” Ini menunjukkan hukuman akan tetap dilaksanakan tanpa memandang status sosial pelanggar. Peristiwa ini menunjukkan prinsip keadilan dalam hukum Islam harus diterapkan secara konsisten tanpa membedakan status sosial seseorang.
Nabi Muhammad SAW juga dikenali dengan sifat keadilan dan kesetaraan. Baginda menegakkan prinsip-prinsip ini dalam masyarakat Madinah dengan memastikan bahawa setiap individu, tanpa mengira latar belakang, mendapat hak dan perlakuan yang adil. Negara madani juga menekankan prinsip keadilan di mana semua rakyat diperlakukan dengan sama rata dan hak asasi manusia dihormati.
Kepimpinan Nabi Muhammad SAW adalah contoh kepimpinan yang bijaksana, adil dan penuh tanggungjawab. Baginda memimpin dengan memberi teladan baik, membuat keputusan berdasarkan musyawarah dan mengambil kira kepentingan semua pihak.
Dalam konteks negara madani, kepimpinan yang bijaksana adalah penting untuk memastikan dasar dan keputusan yang diambil memanfaatkan seluruh rakyat dan menjaga kepentingan umum.
Dalam konsep kasih sayang dan tanggungjawab sosial pula, baginda sering mengingatkan umat Islam tentang pentingnya membantu mereka yang memerlukan dan menjaga kesejahteraan masyarakat. Mengintegrasikan konsep ini dalam negara madani, tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat adalah prinsip utama dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar negara.
Sikap toleransi dan penghormatan terhadap kepelbagaian etnik, agama, dan budaya merupakan antara perkara penting yang diamalkan oleh baginda dalam hubungan dengan komuniti bukan Muslim di Madinah.
Negara madani juga menekankan pentingnya sikap toleransi, penghormatan terhadap kepelbagaian dan hidup bersama dalam harmoni tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan budaya.
Sifat integriti, amanah dan tatakelola yang baik Nabi Muhammad SAW adalah asas dalam kehidupan baginda. Baginda sentiasa bertindak dengan jujur dan memegang amanah yang diberikan kepadanya dengan penuh tanggungjawab. Namun demikian, sifat ini memerlukan kerjasama antara pemimpin dan rakyat bagi memastikan berlakunya integriti dan akauntabaliti dalam pelaksanaan undang-undang dan dasar negara.
Melalui kisah dan contoh di atas, jelas menunjukkan Rasulullah adalah sumber inspirasi kepada melahirkan masyarakat dan negara madani. Ia menjadi asas penting dalam pembentukan masyarakat dan negara madani yang berlandaskan prinsip-prinsip keadilan, kebaikan dan kesejahteraan rakyat. Sifat-sifat peribadi Nabi Muhammad SAW memberikan contoh dan teladan bagaimana prinsip-prinsip ini boleh diaplikasikan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Penulis merupakan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)