KUCHING – Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan Rapid Bus Sdn Bhd untuk memastikan segala keperluan pengangkutan para atlet, pegawai dan pengunjung dipenuhi sempena temasya Para Sukma XXI.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata dengan itu, sebanyak 25 buah bas rapid dari Kuala Lumpur telah dibawa ke sini, untuk kegunaan khususnya para atlet dan pegawai dalam sepanjang berlangsungnya temasya itu pada 20 hingga 28 September ini.
“Perkhidmatan Bas Rapid adalah percuma tanpa melibatkan sewaan dan kos penghantaran ditanggung oleh Kerajaan Sarawak sebanyak RM845,000 dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Kuching dan balik,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau menambah, seramai 44 orang pegawai dan petugas daripada Rapid Bus termasuk 30 kapten bas serta 14 kakitangan sokongan telah tiba pada 13 September lalu untuk mereka menyesuaikan diri dengan laluan ke lokasi pertandingan.
Fatimah berkata, pemilihan Bas Rapid dibuat kerana ia dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU, termasuklah ‘ramp’ dan ruang khas untuk kerusi roda.
“Ini selaras dengan komitmen kita untuk menyediakan pengangkutan yang inklusif dan selamat bagi semua atlet, khususnya mereka yang bertanding dalam Para Sukma,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata RapidKL juga akan menggunakan aplikasi Rapidbus KIOSK untuk melakukan penjejakan masa nyata, bagi membolehkan pihak JK Pengangkutan menjejaki lokasi bas dalam masa nyata.
Menurut Fatimah, selain daripada 25 buah RapidKL, terdapat 37 buah bas, 79 van, 19 SUV, 20 buah kereta dan 10 buah lori akan digunakan dalam sepanjang Para Sukma XXI. – KOSMO! ONLINE