fbpx

Peperiksaan buat pelajar ada matlamat – Cikgu Fadli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bekas guru, Mohd Fadli Salleh mengakui terdapat banyak perbezaan antara penilaian berasaskan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dengan peperiksaan.

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya semalam, dia yang mesra dipanggil Cikgu Fadli berkata, peperiksaan seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) membuatkan pelajar ada matlamat untuk berjaya cemerlang.

Ini kerana katanya, kemasukan pelajar ke sekolah elit seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bergantung kepada keputusan peperiksaan.

“Selain itu, ibu bapa ada fokus lebih jelas apa yang mereka nak anak mereka capai. Maka mereka usaha bantu di rumah, hantar tuisyen dan support setiap program di sekolah.

“Guru-guru pula ada matlamat dan sasaran nak hasilkan berapa murid straight A dan seboleh mungkin nak peratus lulus subjek mereka 100 peratus,”katanya.

Pada masa sama, guru dan ibu bapa juga akan mengandakan usaha untuk membuat kelas tambahan, kelas intensif sehingga mereka berjaya pulihkan murid yang lemah.

“Sekali gus murid-murid akan dapat menguasai asas yang mereka sepatutnya kuasai di sekolah rendah,”ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, Timbalan Perdana Menteriz Datuk Seri Ahmad Zahid menggesa dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3 disemak semula dan dirombak selepas wujud masalah pelajar tidak tahu 3M (membaca, menulis dan mengira).

Beliau berkata, perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini menyedari 3M adalah antara punca kepada 10,177 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Katanya, peperiksaan berkenaan dianggap sebagai pengukur kepada tahap peningkatan pendidikan pelajar-pelajar sebelum mereka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memilih bidang pengajian di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT).-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI