KUALA LUMPUR – Seorang pengasuh warganegara Indonesia, Yuni Widya Sari dikenakan denda RM10,000 atau penjara 15 bulan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran bayi lelaki yang baru dilahirkan dengan menanamnya, akhir tahun lalu.
Mahkamah Majistret Kangar, Perlis menjatuhkan hukuman tersebut selepas wanita yang berasal dari Medan itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Wanita itu didapati menyembunyikan kelahiran bayi lelaki yang baru dilahirkan dengan mengebumikannya di kawasan rumah di Jalan Mutiara Jaya, Taman Mutiara, Kangar pada pukul 6.30 pagi, 21 Disember 2023.
Menurut fakta kes, Yuni Widya, 28, bertindak membalut dan menyimpan bayi lelaki itu dalam mesin basuh selepas panik kerana bayi tersebut tidak bergerak, kemudian mayat mangsa dikebumikan keesokan hari di kawasan rumahnya.
Hasil bedah siasat tidak menunjukkan bayi itu mengalami kecederaan luaran mahupun dalaman yang boleh menyebabkan kematiannya.
Kosmo! pada 3 Januari lalu melaporkan seorang guru menemukan satu mayat bayi lelaki cukup sifat yang dibungkus dalam kain putih selepas menghidu bau busuk berdekatan kediamannya.
Hasil siasatan dijalankan mendapati bayi berukuran 46 sentimer (cm) panjang dan masih bertali pusat itu tertanam di kawasan terbuka dan tidak berpagar. – KOSMO! ONLINE