SHAH ALAM – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan dua lain diarah untuk memadam serta-merta kenyataan yang mengaitkan Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berhubung isu jenayah pemerdagangan manusia.
Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr.Mashitah selepas pengurusan kes itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Jamhirah Ali.
Menurut peguam itu, mahkamah memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan injunksi sementara (interim injunction) yang dipohon Dr. Mashitah selaku plaintif.
“Oleh itu ketiga-tiga defendan perlu padam serta merta dan tidak mengulangi kenyataan-kenyataan fitnah tersebut sehingga keputusan inter-parte (kedua-dua pihak)
dibuat oleh mahkamah,” kata peguam itu.
Semasa prosiding hari ini, peguam Mohd. Falaq Adnan mewakili ketiga-tiga defendan.
Minggu lalu, Dr. Mashitah yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri memfailkan saman fitnah terhadap MHO berhubung kenyataan berbaur fitnah mengenai penglibatannya dalam jenayah pemerdagangan manusia.
Mashitah, 60, memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi menerusi Tetuan Akberdin & Co. di sini pada 9 September lalu dengan menamakan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, 45, Ahli Jawatankuasa MHO Azirul Syafiq Sazali, 29, dan pertubuhan itu masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia itu mendakwa Hishamuddin telah memuatnaik, menyiarkan, menerbitkan atau menyebarkan satu video kenyataan media yang dibuat ketiga-tiga defendan pada 28 Ogos lalu di akaun Facebook “Hishamuddin Hashim”.
Plaintif mendakwa klip kenyataan media itu beserta dengan kapsyen “Sidang Media Berkaitan Aduan Penglibatan Ahli Politik Malaysia Di Dalam Sindiket Pemerdagangan Manusia Berpusat Di Myanmar” melalui satu posting Facebook milik MHO di bawah akaun yang dikenali sebagai “Hishamuddin Hashim”.
Dakwa plaintif pada tarikh sama, Azirul Syafiq juga memuatnaik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan klip video sama melalui satu posting Facebook miliknya.
Beliau berkata, pada keesokannya Hishamuddin memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan suntingan klip video bertarikh itu dengan kapsyen “Sidang Media berkenaan penglibatan bekas Timbalan Menteri dengan syarikat Dongmei Group yang merupakan antara sindiket pemerdagangan manusia & scam paling besar di Myawaddy Myanmar.
Katanya, melalui klip video itu, MHO dan Hishamuddin telah menunjukkan beberapa keping gambar plaintif (Mashitah) yang dikaburkan ketika kenyataan media oleh ketiga-tiga defendan.
Menurut Dr. Mashitah, MHO dan Azirul Syafiq juga memuat naik kenyataan media bertulis oleh defendan ketiga itu yang disediakan dan dikeluarkan oleh MHO berkaitan klip video berkenaan.
Pernyataan fitnah, itu membawa maksud kononnya plaintif dan suaminya mempunyai hubungan perniagaan dan persahabatan dengan seorang individu yang didakwa sebagai mafia dan pengasas serta ahli sindiket kepada satu kumpulan mafia yang didakwa dikenali sebagai “14K”.
Selain itu kenyataan itu juga membawa maksud penglibatan plaintif secara langsung dengan syarikat tersebut adalah suatu skandal jenayah terbesar yang amat memalukan negara Malaysia di mata dunia.
Justeru plaintif menuntut, injunksi mandatori terhadap kesemua defendan memadam semua hantaran dalam masa tujuh (7) hari daripada tarikh penghakiman, selaras dengan bidang kuasa Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 53 Akta Relif Spesifik 1950.
Sejurus selepas itu, MHO dalam satu kenyataan berkata pihaknya bersedia untuk memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman yang difailkan Dr. Mashitah.
Hishamuddin memaklumkan pihaknya mempunyai asas undang-undang dalam segala tindakan yang dilakukan berhubung dakwaan penglibatan Dr. Mashitah dalam jenayah pemerdagangan manusia.
Pada 28 Ogos lalu, MHO meminta SPRM menyiasat seorang ahli politik di negara ini yang didakwa terbabit sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Hasil pemeriksaan polis mendapati tiada pelaburan dibuat beberapa individu termasuk bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di luar negara yang mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut. – KOSMO! ONLINE