fbpx

Najib sakit lutut berkerusi roda ke mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib berkerusi roda ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dilihat membawa tongkat serta berkerusi roda ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini bagi prosiding hujahan akhir kes penyelewengan dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Difahamkan Najib, 71, menggunakan kerusi roda selepas dilaporkan mempunyai masalah lutut kanan yang mana beliau diiringi pegawai penjara ke kamar Mahkamah Tinggi.

Sebelum prosiding bermula, bekas pemimpin UMNO itu berjalan menggunakan tongkat dengan perlahan, ketika berada dalam mahkamah.

Najib kemudian dibenarkan duduk di luar kandang tertuduh bagi membolehkannya meregangkan kaki.

Sebelum ini pada minggu lalu, prosiding hujahan akhir kes pendakwaan bagi tuduhan penyelewengan dana 1MDB ditangguhkan selama dua hari,

Ia berikutan bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak cergas untuk hadir ke mahkamah.

Perunding kanan Jabatan Ortopedik dan Traumatologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Siti Hawa Tahir memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa, Najib telah dirujuk kepadanya pada Ahad lalu, selepas mengadu mengalami sakit akut di lutut.

Justeru Najib diberi sijil sakit selama dua hari dan rawatan semasa yang diberikan kepadanya ialah analgesik yang kuat untuk kesakitannya.

Beliau berkata, buat masa ini ubatan yang diguanakan ialah ‘opioid’ dan pihak perubatan berusaha supaya Najib dapat berjalan dengan selesa tanpa komplikasi lain.

Prosiding hari ini memasuki hari ke tujuh di peringkat penghujahan lisan, tiada testimoni saksi dikemukakan.

Pasukan pembelaan dan pendakwaan sedang menyediakan hujah terakhir, bagi mengemukakan kesimpulan sama ada bukti lisan dan dokumentari akan mensabitkan atau membebaskan Najib daripada pertuduhan.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Najib turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Najib didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, dan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI