PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 menjadi platform yang membuka peluang lebih besar untuk usahawan-usahawan tempatan dan seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri halal dunia.
Menurut Ahmad Zahid, pameran itu secara tidak langsung telah membuka mata kita terhadap luasnya potensi industri halal di Malaysia, bukan hanya dari segi produk tetapi juga teknologi canggih yang digunakan dalam penghasilan makanan halal.
“Banyak reruai dari pelbagai negeri, kementerian dan syarikat Bumiputera yang mempamerkan produk halal tempatan dengan potensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Jelas beliau, ia membuktikan bahawa industri halal sedang berkembang pesat, selari dengan inovasi teknologi terkini.
Ahmad Zahid berkata, pameran tersebut adalah satu perkembangan yang sangat membanggakan kerana ia menunjukkan kemampuan usahawan tempatan kita dalam bersaing di peringkat global.- KOSMO! ONLINE