JOHOR BAHRU – Keluarga tunaikan hajat terakhir bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Allahyarham Tan Sri Ahmad Mohd. Don yang mahu jenazahnya dikebumikan di Johor Bahru.
Anak sulungnya, Shahril Hafiz, 48, berkata, ayahnya dibawa pulang ke rumah di Jalan Tengah, Kampung Stulang Baru, Majidee dari Kuala Lumpur pukul 8 malam tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.55 pagi.
Katanya, sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di ibu kota kira-kira dua minggu yang lalu setelah mengalami masalah komplikasi jantung.
“Doktor memaklumkan bahawa perubatan yang diberikan untuk ‘support’ jantungnya sudah di tahap maksima dan rawatan dialisis juga tidak boleh dilakukan kerana keadaan jantung yang tak kuat.
“Sebelum ini, Allahyarham ada menyebut mahu dikebumikan di Johor Bahru, jadi kita tunaikan hajatnya untuk bawa pulang ke rumah di Stulang Baru,” katanya kepada pemberita hari ini.
Shahril Hafiz memberitahu, Allahyarham di usia tuanya turut menghidap sakit jantung,darah tinggi dan kencing manis. – KOSMO! ONLINE