fbpx

Kanak-kanak Rohingya kes bunuh tiga beranak ditempatkan di pusat jagaan JKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Halimaton bersama kanak-kanak Rohingya di JKM Kedah, Alor Setar baru-baru ini.

JITRA – Kanak-kanak lelaki etnik Rohingya yang kematian ibu dan adik-beradiknya akibat dibunuh bapa sendiri bulan lalu, kini ditempatkan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah berkata, kanak-kanak berusia lima tahun itu ditempatkan di situ setelah keluar dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada awal September lalu.

“Sebelum ini kanak-kanak itu ditempatkan di HSB bagi mendapatkan rawatan serta kaunseling dari pihak JKM. Setelah mendapat perintah mahkamah, kanak-kanak itu kemudian ditempatkan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di bawah kelolaan JKM sejak 3 September lalu.

“Di mana lokasinya, saya tak boleh dedahkan. Kanak-kanak itu hanya akan ditempatkan di situ buat sementara berikutan statusnya yang bukan warganegara Malaysia,” katanya di sini semalam.

Dalam kejadian pada 18 Ogos lalu, suspek bertindak kejam apabila mengelar leher isteri berusia 34 tahun serta dua anaknya berusia dua dan 10 tahun sehingga mati di sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

Mayat isteri dan anak perempuannya berusia 10 tahun ditemui di dalam longkang di belakang bangunan terbiar tersebut manakala mayat kanak-kanak lelaki berkenaan dibuang ke dalam longkang di Jalan Pegawai sebelum ditemui terdampar di Pantai Leman, Kuala Kedah.

Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu pula ditemui selamat bersama suspek apabila kedua-dua mereka berjalan sejauh lebih 17 kilometer selepas pembunuhan itu berlaku ke Masjid Al-Hidayah, Bukit Pinang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI