BUAT kebanyakan manusia, hidup berpasang-pasangan menjadi impian terbesar yang dikejar dalam kehidupan.
Kendatipun, bukan semua daripada kita dipertemukan rezeki untuk disatukan dengan belahan jiwa masing-masing di dunia ini. Jika tidak disatukan di atas bumi yang fana, mungkin suatu hari nanti di syurgawi. Itu satu kepastian buat mereka yang beriman.
Buat Sufian Suhaimi, 32, dia juga seperti orang lain yang memasang impian untuk memulakan perjalanan hidup berkeluarga sendiri namun berkali-berkali mencuba, dia hanya menemui kegagalan. Semua itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat jiwanya untuk bergelar seorang suami.
Katanya, meskipun sudah dua kali percubaan untuk mendirikan rumah tangga terkandas di tengah jalan, tiada siapa dapat menduga apa yang akan berlaku hari ini, esok dan hari-hari mendatang.
‘Bahagian saya’
“Inilah kehidupan agaknya. Kita semua ada chapter (bahagian) masing-masing dan Allah dah letakkan chapter hidup saya sebegini.
“Kita reda sahaja, saya tak nampak benda ini menjatuhkan siapa-siapa. Secara peribadi, apa yang terjadi (kegagalan bercinta) adalah normal.
“Berlaku kepada semua orang dan kebetulan saya orang yang dikenali, mudah untuk orang bercakap tentang apa dialami saya,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.
Ditemui usai sidang media program realiti, The Chosen One, pelantun lagu Terakhir itu menyangkal khabar angin mengenai hubungannya bersama bekas kekasih, Rania Al-Sadat dikatakan kembali bertaut semula.
“Apa yang kalian semua lihat adalah video lama. Apa yang pernah saya kongsikan kali terakhir, jawapannya tetap sama.
“Cumanya, saya dan dia (Rania) okey sahaja tiada sebarang drama. Kami (masih menjalin hubungan) baik.
“Masih kawan dan kalau ada urusan yang perlu kami bincangkan, we are there for each other (kami ada untuk diri masing-masing),” jelas pemenang trofi Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) itu.
Sekitar 1 April, Sufian mendedahkan hubungan istimewa antara mereka sudah berakhir. Situasi tersebut berlaku enam bulan selepas dia menghantar rombongan merisik pada Oktober tahun lalu.
Tekanan berumah tangga
Selepas kisah hubungan berakhir, timbul pula video memperlihatkan mereka bersama sehingga ada yang mendakwa Sufian dan Rania kembali bersama.
Ditanya bagaimana dirinya berdamai dengan takdir apabila dua kali usaha membawa perhubungan ke jenjang pelamin tidak berhasil, jawab Sufian:
“Saya tak rasa sebarang tekanan. Kesedihan mungkin ada sebab itu lumrah manusia.
“Saya masih solo dan belum temui siapa-siapa. Alhamdulillah kerja pun banyak sekarang ini. Saya cuba sibukkan diri dengan perkara yang boleh beri manfaat kepada orang lain.
“Saya percaya, kalau kita beri (manfaat) kepada orang, akan berbalik juga yang baik-baik buat kita.”
Melanjutkan bicara, Sufian tidak pernah meletakkan noktah atau mengalah untuk bertemu dengan teman sehidup semati.
Dia akan terus meletakkan usaha ke arah menamatkan zaman bujang.
“Saya tak rasa ini alasan untuk mengalah dalam hidup. Takkan nak ‘give up’ hidup? Saya melalui kehidupan macam biasa.
“Saya masih menggali rezeki dan rezeki itu bukan berbentuk wang ringgit sahaja. Saya cari semua jenis rezeki termasuklah keluarga, kawan-kawan, pasangan dan kehidupan yang baik.
“Walaupun kita gagal, kita cuba lagi. Gagal 10 kali, saya akan cuba 11 kali. Gagal 100 kali, saya akan cuba bangkit 101 kali,” katanya penuh berfalsafah.
The Chosen One
Berbicara tentang peranan yang digalas dalam program The Chosen One, Sufian teruja untuk menurunkan ilmu sebagai jurulatih kepada dua anak muridnya.
“Saya pun tak tahu sama ada ada kualiti sebagai seorang coach atau jurulatih tetapi tengok rakan-rakan seperjuangan lain bersemangat menurunkan ilmu kepada anak murid masing-masing, saya jadi bersemangat.
“Mana tahu dengan ilmu yang sedikit ini dapat memberi jasa kepada anak murid saya dalam program The Chosen One. Saya akan cuba yang terbaik,” kata Sufian yang mempunyai seorang anak angkat bernama Faeq Razeeq.
Program The Chosen One musim kedua bakal ditayangkan pada 20 September ini setiap hari jumaat pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ceria.
Pertandingan tersebut turut diadili juri tetap iaitu Jaclyn Victor dan Datuk Awie.
Selain Sufian, The Chosen One turut menampilkan jurulatih-jurulatih hebat yang terdiri daripada Adira Wany Hasrita, Amir Jahari, Aepul Roza, Firdaus dan Fahimi Rahman, Tomok dan Suki Low.