PETALING JAYA – Pasangan selebriti Wawa Zainal dan Aeril Zafrel meminta orang ramai berhenti membuat spekulasi negatif tentang kemelut rumah tangga pelakon, Fazura serta Fattah Amin yang kini masih menjadi topik perbualan hangat netizen dalam media sosial.
Menurut Wawa Zainal, 32, orang ramai tidak seharusnya membuat andaian sendiri termasuk menyebarkan pandangan peribadi dan Fattah berlaku curang terhadap Fazura.
“Mana ada (dakwaan Fattah curang), kamu janganlah sebarkan fitnah itu.
“Bini (isteri) dia sendiri pun tak ada cakap dia curang. Kamu orang saja yang buat spekulasi sendiri,” katanya menerusi sebuah video tular dalam TikTok.
Bukan hanya Wawa, suaminya yang juga pelakon iaitu Aeril Zafrel turut menyokong pendapat isterinya.
Kata Aeril, 35, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam sebuah rumah tangga namun orang luar tidak perlu terus melemparkan tuduhan melulu dengan mendakwa isu curang adalah punca utama Fazura memfailkan perceraian terhadap Fattah.
“Kita pun tak tahu (punca).
“Bukan sebab curang, mungkin sebab tiada kesefahaman. Tidak semestinya orang itu mahu berpisah sebab curang semata-mata,” ujarnya.
Terdahulu, Fazura mengejutkan seluruh industri hiburan apabila memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 13 September lalu.
Kemelut rumah tangga mereka sehingga hari ini terus meledak dalam media sosial dengan muncul pelbagai dakwaan termasuk tuduhan Fattah berlaku curang terhadap Fazura.
Spekulasi keretan rumah tangga mula tercetus selepas mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau memberi tanda suka dalam hantaran akaun masing-masing.
Fattah pula memberitahu hanya mengetahui mengenai Fazura memfailkan cerai menerusi media sosial menegaskan tidak berlaku curang dan masih menyayangi isterinya. – KOSMO! ONLINE