BAKU, Azerbaijan – Pelumba McLaren, Oscar Piastri mempamerkan aksi cukup hebat apabila melakar kemenangan di Grand Prix (GP) Azerbaijan sekali gus menamatkan dominasi pasukan Red Bull dalam perebutan gelaran kategori pengeluar perlumbaan Formula Satu (F1) ketika ini.
Piastri, 23, menampilkan saingan cukup padu di litar jalan raya Baku apabila berjaya memintas pelumba Ferrari, Charles Leclerc yang memulakan saingan di petak utama di pusingan ke-20 sekali gus mengekalkan kedudukan tersebut hingga ke penghujung perlumbaan.
Ketenangannya itu membolehkan Piastri menamatkan penguasaan Red Bull selama lebih dua tahun dalam kategori pengeluar dengan merampas takhta tersebut di Azerbaijan.
“Ini adalah hari yang paling mencabar dalam hidup saya. Terima kasih kepada pasukan kerana menyediakan jentera yang begitu hebat sepanjang 18 bulan saya berada di sini. Keputusan seperti ini pastinya tidak mungkin berlaku tanpa kerja keras pasukan.
“Melihat di mana kami bermula, ia adalah kejayaan besar. Setahun lalu kami berada di bawah, dan kini kami berada di puncak,” kata Piastri.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba Mercedes, George Russell, yang mengambil kesempatan ekoran kemalangan antara Sergio Perez (Red Bull) dan Carlos Sainz (Ferrari) di pusingan kedua terakhir.
Hasil kemenangan tersebut, McLaren kini mengumpul 476 mata, mengatasi Red Bull yang kini memiliki 456 mata dalam kategori pengeluar.
Rakan sepasukan Piastri, Lando Norris, yang bermula dari tempat ke-15, turut mempamerkan aksi cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat selepas berjaya memintas Max Verstappen yang terpaksa berpuas hati di tempat kelima. – AGENSI