PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan mengadakan lawatan negara ke China selama empat hari bermula Khamis ini bagi mengeratkan persahabatan antara Malaysia dengan negara Tembok Besar itu.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Sultan Ibrahim, lawatan itu juga akan mencatatkan sejarah penting dalam perhubungan diplomatik Malaysia-China yang memasuki 50 tahun.
“Hubungan dengan China membawa pelbagai manfaat kepada Malaysia sepanjang lima dekad yang lepas. Saya berharap lawatan ini juga menjadi asas kepada pengukuhan persahabatan ke dekad seterusnya.
“Saya yakin terdapat pelbagai bidang yang boleh diterokai bersama dengan kepakaran yang ada antaranya dalam sektor ekonomi digital, pembangunan hijau serta dan perindustrian,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Dalam lawatan itu juga, Seri Paduka Baginda dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Li Qiang, diikuti pertemuan dengan Presiden Xi Jinping.
Sultan Ibrahim juga akan berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknikal Kapal Terbang Awam Beijing COMAC bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan China yang terkini.
Baginda juga akan bertemu dengan diaspora Malaysia di China, dan turut memperkenankan penamaan semula Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University bersempena nama Baginda.-KOSMO! ONLINE