IPOH – Seramai 33 penumpang sebuah bas persiaran berdepan detik cemas apabila kenderaan yang mereka naiki merempuh pembahagi jalan di Kilometer 273.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.
Kemalangan itu menyebabkan tiga penumpang iaitu seorang lelaki dan dua wanita yang berada di tingkat bawah bas cedera akibat tersepit di antara kerusi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Mohd. Azman Husin berkata, dalam kejadian itu pada pukul 1.10 pagi kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dua tingkat yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
“Pemeriksaan mendapati, tiga mangsa yang duduk di tingkat bawah telah tersepit di antara kerusi penumpang dan mengalami kecederaaan.
“Operasi membawa keluar mangsa yang tersepit segera dijalankan dengan cara menarik pelaras kerusi. Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke hospital,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, 30 penumpang lain yang berada di tingkat atas yang turut mengalami kecederaan ringan berjaya keluar sendiri dari bas bersama pemandu. – KOSMO! ONLINE