PETALING JAYA – Memasuki hari keempat cuti panjang, sempadan Bukit Kayu Hitam menuju ke Hatyai masih dipenuhi pelancong dari Malaysia.
Melalui beberapa video dikongsi di TikTok, kenderaan mula berbaris panjang seawal pukul 6 pagi bagi memasuki negara tersebut.
Tinjauan di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna berkongsi pengalaman mereka beratur berjam-jam di sempadan bagi bercuti ke Hatyai.
“Bulan 8 lepas aku dan kawan-kawan pergi Hatyai, tak sangka ramai juga orang. Subuh kami dah sampai sempadan, memang syok jalan cari makan di sana,” kata Hayatie.
“Sebab apa ramai sanggup beratur begini? Sebab berbaloi, di negara kita berjalan-jalan bawa anak, makan sahaja dah beratus-ratus,” kata Amz.
Bagaimanapun, ada juga yang mempersoalkan kegigihan segelintir rakyat negara ini yang sanggup menunggu berjam-jam untuk memasuki negara itu.
“Sudah-sudahlah ikut trend, nak tunjuk sangat dekat orang dah pernah pergi Thailand,” kata Dee.
“Bila berjalan-jalan di negara sendiri semua benda ‘complain’, nak sijil halallah. Pergi negara orang tak cari pula semua tu,” kata SiKetam.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, seramai 51,000 pelawat keluar melalui pintu sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam sejak Khamis, manakala 6,003 lagi menerusi ICQS Kota Putra. – KOSMO! ONLINE