PETALING JAYA – Aliran trafik dilaporkan tinggi di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak ketika ini susulan perantau dan rakyat Malaysia mula pulang ke ibu negara setelah bercuti panjang.
Menerusi televisyen litar tertutup Lembaga Lebuh Raya (LLM), trafik sesak 12 kilometer ke plaza tol Bentong disebabkan pertambahan jumlah kenderaan.
Trafik juga dilaporkan perlahan dari plaza tol Bentong ke Lentang kira-kira 6 kilometer menuju Plaza Tol Gombak, arah ibu negara.
Sementara itu, aliran trafik di Lebuh Raya Plus Utara @ E1 juga dilaporkan tinggi susulan pertambahan kenderaan dan kemalangan di KM 426.4 arah Selatan dari Bukit Tagar ke Bukit Beruntung.
Di Lebuh Raya Plus Selatan @ E2, aliran trafik dilihat terkawal meskipun terdapat pertambahan kenderaan di beberapa tempat di KM297.7 Bangi, di KM283.6 Nilai, di KM285.25 Nilai Utara dan di KM310.8 Sungai Besi.
Bagaimanapun, trafik dilihat perlahan serta sesak di KM216.9 Simpang Ampat dan di KM258.5 Port Dickson.
Terdahulu Kosmo! melaporkan pergerakan kenderaan keluar daripada ibu kota sempena cuti panjang dilaporkan lebih meningkat berbanding musim perayaan.
Lembaga Lebuh Raya (LLM) berkata, dapatan tersebut hasil daripada pemantauan pusat pengurusan trafik di Lebuh Raya Utara Selatan jajaran Utara dan Selatan serta Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.
Menurutnya, berdasarkan rekod, bilangan trafik di Lebuh Raya Utara Selatan mencatatkan sebanyak 2.2 juta kenderaan berbanding purata pada musim perayaan sebanyak 2.05 juta kenderaan dalam tempoh 24 jam. – KOSMO! ONLINE