SERDANG – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyasarkan pekasam jenama A-One keluaran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA A-1 Arau, Perlis bakal menembusi pasaran di seluruh negara.
Pengerusi MADA, Dato’ Dr. Ismail Salleh berkata, ia selaras dengan langkah pihaknya memperkenalkan pembungkusan baharu yang lebih menarik dan berkualiti sebagai salah satu strategi pemasaran, selain untuk mengekalkan rasa produk.
“Kita mahu produk ini menjadi produk kegemaran seisi keluarga di seluruh negara pada masa akan datang. Ini kerana pekasam A-One ini sangat mudah disediakan dan hanya mengambil masa lima minit untuk siap dimasak.
“Pengguna terutamanya yang bekerja tidak perlu untuk menghabiskan masa lama di dapur serta berpeluang mencuba pelbagai resipi masakan ringkas mengikut cita rasa masing-masing,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pembungkusan Baharu Pekasam Jenama A-One di Pavilion Negeri Perlis di sini, semalam.
Ismail berkata, antara barisan produk Pekasam A-One termasuklah pekasam ikan tilapia, pekasam telur sotong dan pekasam daging.
Tambahnya, selain sebagai strategi pemasaran dengan wajah baharu yang lebih menarik, pembungkusan baharu itu sebenarnya untuk mengekalkan rasa dan memudahkan pengendalian pengguna.
“Semua pekasam A-One ini dihasilkan sendiri oleh ahli-ahli PPK dan semua bahan mentah juga dibekalkan oleh pengusaha tempatan.
“Jadi, pengguna tidak perlu risau tentang bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sempena penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, pihaknya menyasarkan jualan RM1,000 sehari untuk produk pekasam A-One yang ditawarkan pada harga promosi istimewa di Pavilion Perlis.
Pekasam ikan tilapia ditawarkan pada harga RM12 bagi pek seberat 200 gram (g), manakala produk pekasam telur sotong dan daging pula berharga RM15 bagi pek 130g.
“Pihak PPK turut mengadakan jualan promosi di MAHA 2024 bagi pek berkembar untuk menarik minat penggemar pekasam pada harga RM27 (dua pek) dan RM39.00 (tiga pek).
“Pekasam adalah merupakan makanan tradisi bagi orang utara sebagai pembuka selera dalam sajian makanan.
“Pengunjung dijemput datang melawat Pavilion Perlis di MAHA kerana kami menyediakan pelbagai produk keluaran anak tempatan Perlis pada harga yang Istimewa,” ujarnya.
Pekasam jenama A-One boleh didapati di PPK MADA Harapan Mewah A-1 Arau atau menerusi talian 011-56967969.