PETALING JAYA – Kerinduan mendalam pelakon Abby Abadi untuk bertemu anak perempuan keduanya, Marissa Dania terubat apabila menerima kejutan istimewa semasa sambutan ulang tahun ke-16 anak ketiganya, Maria Danisha Hakim .
Dalam video yang dikongsikan dalam Instagram, Abby dilihat bersama anaknya Maria sebelum didatangi oleh Marissa.
Kata Abby atau nama Arbaiyah Abdul Manan, 46, niat asalnya untuk membuat kejutan kepada Maria, namun sebaliknya berlaku apabila dia yang menerima kejutan.
“Nak terkejutkan Baby (nama panggilan Maria), mama yang terkejut sebab ada Marissa. Abang (nama panggilan Danish Hakim) memang selalu ada di mana-mana.
“Lama tak jumpa anak mama yang seorang ini. Rindu sangat-sangat,” katanya.
Pada masa sama, Abby turut menasihati anaknya, Marissa agar sentiasa meluangkan masa untuk bertemu dengan ahli keluarga yang lain.
“Terima kasih kerana datang meraikan Baby semalam. Datang selalu okey. Daiyan, Dayana dan Darda semua rindu dan sayang adik (Marissa) sangat-sangat.
“Sangat-sangat sayang. Tidak berkurang walau sedikitpun,” katanya lagi.
Semalam Abby sekeluarga membuat kejutan sambutan hari lahir buat anaknya Maria dan dalam majlis itu turut dihadiri oleh bekas suaminya, Norman Hakim bersama isteri, Memey Suhaiza.
Terdahulu Abby memberitahu dia tidak tahu menahu mengenai berita tentang Marissa keguguran anak pertama ketika kandungannya berusia enam bulan. – KOSMO! ONLINE