ALKMAAR – Bekas penyerang sensasi Manchester United, Robin Van Persie berdepan mimpi ngeri dalam karier kejurulatihannya selepas skuad kendaliannya, Heerenveen dibelasah teruk dalam saingan Liga Eredivisie awal pagi semalam.
Pada perlawanan di AFAS Stadion itu menyaksikan tuan rumah, AZ Alkmaar mencatat kemenangan 9-1 dan dianggap paling besar setakat ini dalam saingan liga utama di Eropah dengan penyerang baharu pasukan itu, Troy Parrot menjaringkan empat gol.
Bekas pemain Tottenham Hotspur itu melengkapkan perpindahan ke AZ pada musim panas lalu tidak mengambil masa lama untuk memberikan impak buat pasukan itu sekali gus membantu mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.
Pada perlawanan itu, AZ membuka tirai jaringan sebelum Heerenveen menyamakan kedudukan dan kembali mendahului sebelum babak pertama berakhir menerusi Parrot.
Bagaimanapun, separuh masa kedua menyaksikan AZ bagaikan ‘dirasuk’ apabila meledak tujuh lagi gol dengan Parrot melengkapkan tiga lagi gol dalam tempoh lapan minit bermula minit ke-48.
Van Persie yang menandatangani kontrak sebagai pengendali pasukan itu pada Mei lalu untuk tempoh dua tahun mengharungi empat perlawanan setakat ini dengan rekod dua kekalahan dan masing-masing satu kemenangan serta seri.
Heerenven memulakan musim dengan kekalahan 0-1 kepada Ajax Amsterdam sebelum mengikat FC Utrecht 1-1 dan meraih kemenangan pertama 4-0 ke atas NAC Breda pada aksi terakhir dua minggu lalu.
Namun, cuti rehat antarabangsa yang panjang gagal dimanfaatkan untuk memantapkan pasukan dan meneruskan rentak cemerlang selepas berdepan kekalahan besar dalam sejarah kelab itu.