fbpx

Menjadi! 3 hari tayangan Baik Punya Ah Long raih RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Baik Punya Ah Long menggandingkan Johan dan Zizan sebagai adik beradik yang mengusahakan perniagaan pinjaman wang berlesen.

PELAKON dan pengarah Datuk Afdlin Shauki menzahirkan rasa gembira dan bersyukur atas kejayaan filem arahannya, Baik Punya Ah Long yang berhasil mencatat kutipan RM1 Juta hanya dalam tempoh tiga hari tayangan.

Mengakui bukan senang menjual naskhah muzikal, Afdlin atau nama lengkapnya Afdlin Shauki Aksan, 53, tidak menyangka filem bergenre sedemikian masih menjadi pilihan penonton.

“Alhamdulillah, pertama sekali saya sangat bersyukur dan gembira dengan kutipan filem itu setakat ini. Bukan senang ya nak jual filem muzikal. Ada orang minat naskhah genre itu dan begitulah sebaliknya.

“Filem ini kita sulamkan dengan elemen komedi dan perkara lain yang menarik. Gabungan Jozan juga sudah lama peminat mahu tengok, pastinya akan gembira dan terhibur tengok gelagat mereka berdua.

“Saya percaya lagu-lagu yang kita hasilkan untuk filem ini juga tidak membosankan penonton,” katanya kepada HibGlam.

BERGENRE muzikal, filem Baik Punya Ah Long berjaya mencuri perhatian penonton apabila meraih kutipah RM1 juta dalam tempoh 3 hari tayangan.

Enggan meletakkan sebarang sasaran kutipan, Afdlin bagaimanapun berharap naskhah tersebut mendapat sambutan berterusan hingga tarikh akhir tayangan di pawagam seluruh negara.

“Terima kasih kepada semua yang datang menonton filem ini. Ramai yang datang dan beritahu mereka sudah tonton filem ini dua tiga kali.

“Saya juga tak letak sasaran dari segi kutipan dan hanya harap dapat sebaik mungkin dan filem ini beri pulangan kepada pelabur-pelabur serta hasil karya seni dapat dibuat lagi.

“Saya harap dapat momentum berterusan pada filem ini dan Insya-Allah, kalau ada rezeki kita boleh buat sambungannya nanti,” ujarnya.

Filem Baik Punya Ah Long terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Petra Vision Works dan Golden Screen Cinemas menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 12 September lalu.

Selain gandingan serasi Johan dan Zizan, filem itu turut dibintangi Liyana Jasmay, Adlin Aman Ramlie, Mia Sara Shauki, Adibah Noor dan Chew Kin Wah.

Baik Punya Ah Long mengisahkan tentang dua beradik, Aloy dan Ale yang diminta bapa mereka untuk menjalankan perniagaan.

Meskipun Aloy dan Ale tidak mempunyai pengalaman, mereka tetap menyahut cabaran ayah mereka dengan menjalankan perniagaan pinjaman wang berlesen.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI