SAUDARA PENGARANG,
Pengendali akaun Edisi Siasat (ES) di aplikasi Telegram semakin ligat. Saban hari ada sahaja isu dan penyelewengan yang dibongkar hingga mendapat reaksi daripada pihak berkuasa.
Hendak kata isu yang didedahkan tidak benar juga tidak boleh kerana ada juga pembongkaran diambil tindakan oleh pihak berkaitan.
Walaupun tipu atau tersasar, kebanyakan pengikut ES yang sudah mencecah jutaan orang itu akan percaya kerana setakat ini boleh dikatakan semua yang diperkatakan ada benarnya.
Daripada penyelewengan penguat kuasa, ES kini menjadi tempat luahan anggota atau pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara.
Persoalannya, mengapa pentadbir ES itu masih dibiarkan bebas.
Adakah polis masih belum dapat menjejakinya atau terdapat usaha untuk melindunginya supaya sisi gelap kakitangan kerajaan terus didedahkan?
Kalau dibiarkan, ia akan menjadi ibarat api dalam sekam yang menghakis kepercayaan rakyat. Ayat yang popular seperti sakau, londeh, tutup kes dan sebagainya akan terus dimainkan.
Jika tidak ditangkap, lebih banyak pendedahan akan dilakukan dan sampai bila perkara ini akan terus berlanjutan?
Pengikut ES,
Kuala Kubu Baharu