LUMUT – Seorang lelaki yang dipercayai melakukan aktiviti menjala ikan di Sungai Lumut Kanan berhampiran Jalan Titi Panjang di sini ditemui lemas setelah terjatuh dari bot ke sungai berkenaan tengah malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 12.18 tengah malam.
Katanya, mangsa dikenali sebagai Khairul Jumazlizi Ghazali, 46, dijumpai pada jarak 100 meter pada pukul 10.20 pagi setelah teknik figure of eight dilakukan dari lokasi dia dipercayai jatuh.
“Mangsa dijumpai sedikit terapung dan pasukan penyelamat telah mengambil mangsa dan setelah pemeriksaan dilakukan, dia disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan.
“Mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Menurut Sayani, operasi yang disertai oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung, BBP Pulau Pangkor dan BBP Sitiawan itu tamat sepenuhnya pada pukul 11 pagi. – KOSMO! ONLINE