PETALING JAYA – Ditindih menggunakan lutut sehingga sesak nafas selain dirotan berkali kali di tapak tangan.
Demikian antara video tular di media sosial yang memaparkan penderaan dialami kanak-kanak dipercayai menghuni rumah kebajikan diserbu sepasukan polis menerusi Op Global, baru-baru ini.
Menerusi video pertama, seorang kanak-kanak lelaki menahan kesakitan apabila ditindih dengan lutut oleh seorang lelaki dewasa disyaki penghuni premis.
Video berdurasi satu minit sembilan saat itu turut memaparkan tindakan menutup hidung kanak-kanak tersebut dalam keadaan mangsa menangis teresak-esak.
“Kenapa menangis, nak mati ke?,” katanya.
Video kedua pula memaparkan beberapa kanak-kanak dirotan beberapa kali oleh seorang lelaki lebih 10 kali sambil menahan kesakitan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan berhubung video terbabit dan akan melakukan siasatan lanjut.
“Kita akan buat laporan dan kesan dari kanak-kanak diselamatkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.