ALOR SETAR – Kira-kira 567 penumpang yang berlepas dari Terminal Feri Kuala Perlis, Perlis ke Langkawi terkandas di beting pasir terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari Kuala Perlis hari ini.
Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, kerja-kerja memindahkan penumpang sedang dilakukan dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di lokasi terlibat.
“Ia melibatkan feri pukul 2.30 petang dari Kuala Perlis menuju ke Langkawi yang membawa 567 penumpang. Feri berkenaan tersangkut di beting pasir terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari Kuala Perlis.
“Ia berlaku setelah feri tersebut ditiup angin kencang ke beting pasir itu. Sekarang kerja-kerja memindahkan penumpang ke terminal sedang dilakukan dengan bantuan Maritim Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, kerja-kerja memindahkan penumpang itu mengalami kesukaran ekoran keadaan laut yang cetek dan buritan kapal tersangkut di beting berkenaan. – KOSMO! ONLINE