SOUTHAMPTON – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag nyata gembira menyaksikan penyerangnya, Marcus Rashford menamatkan kemarau jaringan selepas meledak satu gol ketika pasukan itu menewaskan Southampton 3-0 di St. Mary kelmarin.
Ten Hag menggunakan analogi yang digunakan oleh bekas pemainnya, Cristiano Ronaldo ketika undian sesi undian Liga Juara-Juara lalu yang menganggap seorang penyerang adalah seperti ‘botol sos’ kerana apabila mereka sudah berjaya mendapatkan gol, lebih banyak jaringan bakal menyusul.
Penyerang berusia 26 tahun itu gagal menjaringkan gol sejak Mac lalu dan kemarau golnya berlangsung dalam 12 perlawanan sebelum dia berjaya meledak gol kedua kira-kira selepas enam minit United meraih gol pertama menerusi Matthijs De Ligt.
“Gol itu sangat penting untuk dia. Kami tidak memberikan perhatian mengenai apa yang dikatakan oleh orang luar terhadap kami. Rashford mencipta dua peluang menarik ketika bertemu Liverpool, tetapi dia menjadi mangsa kritikan teruk.
“Kali ini dia bermain dengan baik dan layak untuk menjaringkan gol. Dia melakukan jaringan yang menarik dan jumlah gol yang dihasilkan berdasarkan umurnya, ia adalah sesuatu yang luar biasa.
“Saya yakin akan ada lebih banyak gol bakal dihasilkan Rashford selepas ini. Musim masih baharu, dia sudah berjaya melakukan jaringan dan itu akan membina momentum dan keyakinannya untuk aksi selepas ini,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, United meraih dua lagi gol menerusi De Ligt dan Alejandro Garnacho selain penjaga gol, Andre Onana juga bertindak cemerlang menafikan sepakan penalti Southampton.
“Permulaan aksi tidak mudah. Sepakan penalti itu mengubah situasi apabila kami berjaya membuka tirai jaringan dan selepas itu perlawanan menjadi milik kami,” jelasnya. – AGENSI