MANCHESTER – Penyerang Manchester City, Erling Haaland nyata terlalu sukar untuk disekat selepas merakam satu lagi rekod peribadinya apabila kini sudah pun mengatasi legenda Manchester United, Wayne Rooney.
Dua gol yang dihasilkannya memastikan City menang 2-1 ke atas Brentford sekaligus menoktahkan jaringan kesembilan dalam empat perlawanan awal, memintas catatan lapan gol milik Rooney.
Walaupun dihimpit masalah emosi ekoran kematian rakan terdekat keluarganya, Ivar Eggja, Haaland menyerlahkan dia memiliki kekuatan mental dan hampir mengesahkan hatrik ketiga berturut-turut.
“Saya boleh katakan itu adalah prestasi terbaiknya. Sudah pasti keadaannya cukup sukar dan kami kekal sentiasa mengambil berat semua orang dalam pasukan.
“Jika ada sesuatu berlaku dalam kehidupan, kamu perlu jadi kuat sekurang-kurangnya untuk melupakan apa yang terjadi dalam tempoh 90 minit.
“Dia berada dalam keadaan sukar sepanjang minggu tetapi kami cuba untuk membantunya. Jelas sekali jika Haaland mempunyai ruang, agak sukar untuk mengawalnya,” kata pengendali City, Pep Guardiola.
Kini Haaland sudah pun merekodkan 99 gol hanya dalam 103 penampilan bersama The Citizens. – AGENSI