fbpx

Dua tahun terlantar akibat nahas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norhazliza mengelap badan Mohd. Fayzilam yang terlantar ketika ditemui di Kampung Lundang, Kota Bharu baru-baru ini.

KOTA BHARU – Sudah kering air mata seorang ibu apabila bukan sahaja melihat anak yang diharapkan kini terlantar, malah terpaksa bekerja keras untuk mencari wang bagi perbelanjaan menguruskan kehidupan harian keluarga.

Norhazliza Ismail, 60, berkata, anaknya, Mohd. Fayzilam Mohd. Rozi, 36, lumpuh seluruh badan sejak dua tahun lalu akibat kemalangan selepas menghantarnya ke tempat kerja di sebuah kedai makan di Padang Tembak, Pengkalan Chepa dekat sini.

Katanya, Mohd. Fayzilam yang merupakan seorang penggali kubur terbabas sendiri ketika hendak pulang ke rumah di Kampung Lundang di sini.

“Dia terlantar selepas hampir setahun dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini. Saya terpaksa berhenti kerja kerana mahu memberi fokus kepadanya yang memerlukan pemantauan dan bantuan setiap masa.

“Saya bersyukur ada me­nerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500 sebulan kerana anak dikategorikan sebagai orang kelainan upaya,” katanya ketika ditemui di Kampung Lundang di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut Norhazliza, bantuan itu tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan anaknya yang dianggarkan sebanyak RM2,000 sebulan.

Tambahnya, dia perlu membeli lampin pakai buang, susu khas, ubat selain perbelanjaan makan minum anaknya setiap hari.

“Saya berusaha mencari pendapatan dengan menjual pisang goreng di depan rumah selain dibantu oleh dua anak lain untuk membeli kelengkapan abang mereka jika keadaan mendesak,” katanya.

Ujar Norhazliza, lampin pakai buang dan susu khas juga hanya bertahan selama seminggu untuk setiap pembelian.

“Anak saya sebelum ini bekerja sebagai penggali kubur selepas mewarisi pekerjaan tersebut daripada arwah bapanya yang meninggal dunia tiga tahun lalu,” katanya.

Menurut Norhazliza, keadaan kewangan keluarga yang tidak seberapa menyebabkan dia tekad mahu menjaga anak sulungnya itu sehingga akhir nyawa.

“Saya juga perlu menyediakan wang sebanyak RM400 setiap kali mahu membawa Mohd. Fayzilam ke hospital termasuk sewa ambulans,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Mohd. Fayzilam boleh menghubung Norhazliza di talian 010-399 3202 atau me­nyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Norhazliza Ismail, 03036022704755.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI