MALAYSIA menerusi Dasar Bioteknologi Negara (DBN) 2.0 memiliki visi dan wawasan yang jelas untuk memajukan sektor bioteknologi, selaras dengan aspirasi menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
Sasaran utama DBN 2.0 ialah membimbing syarikat-syarikat bioteknologi termasuk syarikat berstatus BioNexus untuk menyumbang lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), memupuk sekurang-kurangnya 30 peratus syarikat berstatus BioNexus ke peringkat global serta melahirkan tiga buah unikorn (syarikat pemula dengan penilaian melebihi AS$1 bilion) bio-inovasi di Malaysia.
Bioeconomy Corporation yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memainkan peranan utama bagi melaksanakan matlamat DBN 2.0 dan mengenal pasti manfaat utama dalam penyelidikan, pembangunan dan perdagangan dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio.
Kosmo! baru-baru ini sempat menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp, Mohd. Khairul Fidzal Abdul Razak mengenai industri bioteknologi tempatan, cabaran utama dihadapi pemain industri serta jenis bantuan disediakan bagi membolehkan syarikat bioteknologi lokal terus bertumbuh dan berkembang maju.
KOSMO!: Boleh Encik Khairul terangkan tentang peranan Bioeconomy Corporation dalam memajukan industri bioteknologi di Malaysia?
Mohd. Khairul Fidzal: Kami memberikan sokongan dan fasilitasi menyeluruh dalam ekosistem bioteknologi dan berasaskan bio termasuk pelajar, siswazah, akademia, usahawan, syarikat dan komuniti setempat untuk meningkatkan pelaburan, pendapatan serta peluang pekerjaan di Malaysia.
Usaha ini memberi tumpuan kepada tiga sektor utama dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia iaitu sektor pertanian, perindustrian dan penjagaan kesihatan.
Sokongan ini adalah dalam bentuk program berimpak tinggi seperti status BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA) yang memberikan bantuan seperti pembangunan usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembangunan bakat, akses pasaran serta pembiayaan.
Di samping itu, Bioeconomy Corporation menawarkan sokongan dalam bentuk pembangunan produk, pensijilan, pengiktirafan ujian makmal dan akses kepada kemudahan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi serta bantuan cukai, perkhidmatan imigresen, hal ehwal regulatori dan harta intelek.
Kami memastikan bahawa syarikat-syarikat bioteknologi berkelayakan diberikan sokongan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran dalam industri dan menjadikan mereka lebih berdaya saing, berjaya di peringkat global, tersenarai di bursa saham serta mampu mencapai status unikorn.
Apa isu yang selalu dihadapi oleh syarikat bioteknologi tempatan masa kini?
Salah satu penyumbang utama adalah faktor persekitaran ekonomi yang memperlahankan pertumbuhan mereka.
Antara isu dihadapi, terutama oleh syarikat pemula adalah kekurangan penerimaan pasaran disebabkan penghasilan produk atau perkhidmatan yang kurang memenuhi kehendak pengguna dalam mahupun luar negara.
Di samping itu, akses pasaran sering kali menjadi cabaran kerana syarikat perlu membangunkan rangkaian yang kukuh dan strategi pemasaran efektif, sambil mematuhi peraturan ketat dan melalui beberapa peringkat pendaftaran serta kelulusan sebelum produk boleh dipasarkan terutama di peringkat antarabangsa.
Tambahan pula, ramai menghadapi kesulitan dalam mendapatkan pensijilan dan akreditasi untuk produk atau perkhidmatan bioteknologi mereka disebabkan beberapa faktor seperti kos yang tinggi, kesukaran mendapatkan pusat hubungan yang tepat, kekurangan tenaga kerja atau pengubahsuaian bagi memenuhi standard pasaran serta kurang kesedaran dan latihan dalam proses pensijilan dan akreditasi.
Syarikat bioteknologi juga menghadapi isu ketidakpadanan dalam pembangunan bakat. Masih terdapat jurang antara pengetahuan dan kemahiran dalam bidang akademik dengan keperluan industri sebenar.
Lagi satu isu yang dihadapi oleh syarikat bioteknologi adalah kekurangan akses kepada pembiayaan. Proses mendapatkan modal sering kali memerlukan masa yang panjang, sementara banyak syarikat memerlukan dana yang besar untuk mengembangkan perniagaan, mengkomersialkan produk, memperluas operasi dan menjalankan penyelidikan serta pembangunan secara berterusan.
Apa program utama yang ditawarkan oleh Bioeconomy Corp untuk membantu usahawan menghadapi cabaran-cabaran ini?
Antara program ditawarkan adalah Bio-based Accelerator (BBA) yang menyediakan sokongan dan bimbingan khusus kepada syarikat bioteknologi dan berasaskan bio terutama di peringkat awal seperti syarikat pemula atau PKS.
Program ini membantu syarikat mengatasi jurang dalam kemahiran, aplikasi teknologi, sumber kewangan, pematuhan regulatori dan kebolehpasaran produk serta mempercepat pembangunan dan pertumbuhan mereka dalam industri berasaskan bio.
Selain itu, syarikat yang menyertai program BBA akan dibimbing untuk bersedia memohon dan memperoleh status BioNexus.
Seterusnya, Status BioNexus adalah status eksklusif yang dianugerahkan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti bioteknologi.
Dengan status ini, syarikat layak untuk mendapatkan insentif fiskal, insentif cukai termasuk pengecualian cukai, sokongan pembiayaan, fasilitasi pelaburan, perkhidmatan nasihat dan jaminan lain yang bertujuan bagi meningkatkan pertumbuhan syarikat.
Mereka juga dijamin kelebihan-kelebihan tertentu seperti yang dinyatakan dalam Akta Jaminan Status BioNexus yang menyediakan pelbagai manfaat untuk memperkukuh dan memajukan operasi mereka dalam industri bioteknologi.
Status BioNexus dan BBA, kedua-duanya merupakan akreditasi dan pengiktirafan yang berkredibiliti tinggi oleh kerajaan Malaysia untuk syarikat dan produk bioteknologi tempatan.
Boleh kongsikan tip atau nasihat kepada usahawan yang berminat dalam industri bioteknologi?
Perniagaan dalam bioteknologi memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi. Banyak syarikat berstatus BioNexus dan BBA memerlukan beberapa tahun sebelum mereka dapat berkembang dan mencapai kejayaan komersial yang stabil.
Sokongan dan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti akademia, penyelidikan, penggiat industri, kerajaan dan lain-lain sangat penting untuk mempercepat pembangunan syarikat dalam industri ini.
Kenal pasti kekurangan atau keperluan dalam syarikat anda yang perlu dipenuhi supaya lebih mudah untuk mencari bantuan atau fasilitasi yang paling sesuai.
Bioeconomy Corporation sentiasa bersedia untuk memberikan sokongan dan bimbingan kepada syarikat-syarikat bioteknologi yang memerlukan, sama ada untuk memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan yang sedia ada.