PETALING JAYA – “Nanti bila saya mati, YB (Yang Berhormat) tolong jaga anak saya.”
Itu permintaan seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) penglihatan yang terharu selepas anaknya menerima bantuan pendidikan daripada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Steven Sim berkata, anak wanita itu Dharsini Subramaniam, 21, baru-baru ini, mendapat tawaran ke Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka.
Namun, disebabkan masalah kewangan, Dharsini mengambil keputusan untuk tidak menerima tawaran tersebut.
Katanya, beberapa tahun lepas, ibunya bukan sahaja OKU malah pernah terlibat kemalangan menyebabkan kaki pula patah dan ayah gadis itu pula sudah tiada.
“Seharusnya ini berita baik sebab impian Dharsini selama ini ialah menjadi seorang jurutera perisian. Yuran universiti campur segala kos mencecah puluhan ribu.
“Dia beritahu, dia baru terima tawaran kerja di sebuah pasar mini. Kalau rajin kerja bolehlah RM1,500 sebulan, boleh jaga ibu dan menabung untuk pergi belajar,” kongsinya di Facebook.
Steven Sim berkata, beliau terharu dan kagum dengan Dharsini yang sanggup melupakan cita-cita sendiri demi ibu tersayang.
Oleh kerana itu apabila dimaklumkan tentang masalah gadis itu, beliau terus membuat lawatan ke rumahnya debgan membawa borang pendaftaran UTeM.
“Saya beritahu Dharsini dan ibunya, kos nak belajar kat UTeM saya tanggung semua. Yuran pendaftaran, saya bayar. Kos perjalanan nak pergi sana, saya bayar. Nak laptop, saya bayar.
“Kalau dapat PTPTN, dana yang saya bagi itu boleh guna untuk tampung keperluan hidup termasuk keperluan ibunya,” ujarnya.
Steven Sim berkata, beliau akan berusaha untuk memastikan anak-anak yang tidak berkemampuan boleh mencapai cita-cita masing-masing melalui pendidikan. – KOSMO! ONLINE