fbpx

Barat bimbang kerjasama nuklear Iran, Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Biden (kanan) dan Starmer (kiri) mengadakan pertemuan di Pejabat Oval White House di Washington, DC, pada 10 Julai lalu. - AFP

WASHINGTON – Britain dan Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kebimbangan yang mendakwa Russia berkongsi rahsia nuklear dengan Iran sebagai pertukaran kepada bantuan Tehran yang membekalkan Moscow dengan peluru berpandu balistik untuk mengebom Ukraine.

Semasa sidang kemuncak di Washington Jumaat lalu, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dan Presiden Joe Biden berkata, Iran dan Russia mengukuhkan kerjasama ketenteraan.

Ia berlaku ketika Iran dilaporkan berada dalam proses untuk memperkayakan uranium yang mencukupi bagi melengkapkan matlamat jangka panjangnya untuk membina bom nuklear.

Sumber dari Britain berkata, kebimbangan antara pemimpin disuarakan mengenai pertukaran  teknologi nuklear antara Tehran dengan Moscow.

Pada Selasa minggu lalu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mengeluarkan amaran sama semasa lawatannya ke London untuk sidang kemuncak dengan rakan sejawatannya dari Britain, David Lammy.

“Russia berkongsi teknologi yang dicari oleh Iran dan ini adalah pertukaran dua hala.

“Ia termasuk mengenai isu nuklear serta beberapa maklumat ruang angkasa,” kata Blinken yang menuduh kedua-dua negara terlibat dalam aktiviti boleh menggugat ketidakstabilan dunia.

Britain, Perancis dan Jerman bersama-sama memberi amaran minggu lalu bahawa simpanan uranium Iran yang diperkaya terus berkembang dengan ketara, tanpa sebarang justifikasi awam yang boleh dipercayai.

Tidak jelas berapa banyak pengetahuan teknikal Tehran untuk membina senjata nuklear pada peringkat ini, atau seberapa cepat ia boleh melakukannya. 

Namun, AS dan Britain berkata, kerjasama dengan pakar Russia yang berpengalaman atau menggunakan pengetahuan Moscow akan membantu mempercepatkan proses pembuatan.

Iran bagaimanapun berkali-kali menafikan bahawa ia cuba menghasilkan bom nuklear dan membekalkan peluru berpandu balistik ke Russia. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI