fbpx

Anak conteng pasport, kempunan makan tomyam Hatyai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemilik pasport dengan kesan contengan tidak dibenarkan keluar negara semasa pemeriksaan di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada semalam.

ALOR SETAR – Keterujaan sebilangan rakyat Malaysia untuk makan angin di Hatyai, Thailand berakhir apabila terkandas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam akibat masalah cukai serta pasport.

Mengikut data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, sebanyak 39 kes membabitkan masalah cukai dan berkaitan pasport dikesan ketika pemeriksaan di pintu sempadan menyebabkan hasrat individu terlibat ke negara jiran terbantut.

Data di ICQS Bukit Kayu Hitam menunjukkan ramai yang ditahan daripada keluar negara disebabkan tunggakan cukai pendapatan, cukai kastam serta kes jenayah lama yang belum diselesaikan.

Pelancong dari Ayer Keroh, Melaka yang mahu dikenali sebagai Maznah, 45, berkata, dia ke Hatyai untuk bercuti dan menyambut hari keluarga di sana.

Dia bagaimanapun terkedu apabila pegawai imigresen memaklumkan namanya tersenarai dalam sekatan perjalanan kerana gagal menjelaskan cukai pendapatan.

“Saya memang teruja nak makan tomyam asli di Hatyai dan bercuti dengan keluarga besar tetapi semuanya musnah. Saya memang tidak sedar ada masalah cukai,” katanya di sini semalam.

Seorang pelancong dari Gelang Patah, Johor, yang dikenali sebagai Ramesh, 36, berkata, dia terpaksa membatalkan percutiannya kerana pasport anak diconteng tanpa disedarinya.

“Semua hotel dan penginapan sudah ditempah yang mana kami rancang bercuti di sana selama tiga hari. Bila sampai di kaunter, pegawai beritahu pasport anak saya rosak, saya memang tak perasan ada contengan. Habis semua perancangan kami,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Imigresen negeri, Mohd Ridzzuan Mohd Zain memberitahu, pihaknya mengesan 10 kes pasport rosak termasuk pasport yang koyak, terkena air, hilang muka surat dan contengan kanak-kanak.

“Bukan itu sahaja, kita juga mengesan 20 kes berkaitan tunggakan cukai (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan sembilan kes melibatkan isu kastam, menjadikan perjalanan rentas sempadan itu lebih mencabar kepada mereka yang terlibat,” jelasnya.

Sehubungan itu, kata beliau, semua rakyat Malaysia diseru untuk menyemak status perjalanan mereka di portal Sistem Semakan Status Perjalanan Imigresen (SSPI) sebelum membuat sebarang perancangan ke luar negara bagi mengelak kekecewaan pada saat akhir.

“Anda hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan untuk mengetahui jika ada sebarang sekatan yang dikenakan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI