fbpx

ACT 2024: Speedy Tigers gagal pertahan kedudukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD negara tewas menerusi penalti shoot-out kepada Jepun untuk mengakhiri saingan ACT di kedudukan tercorot. - FB MHC

KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki kebangsaan menamatkan saingan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di tempat terakhir selepas tewas kepada Jepun menerusi penalti shoot-out di Moqi, China, sebentar tadi.

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh meluahkan kekecewaannya terhadap keputusan itu, terutamanya selepas Malaysia memimpin pada beberapa ketika sepanjang perlawanan, tetapi gagal mengekalkan kelebihan.

“Kami mempunyai peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol, tetapi kurang klinikal di dalam kawasan D. Kesilapan mudah menyebabkan kami melepaskan gol yang tidak sepatutnya dan memberi ruang kepada Jepun untuk bangkit,” jelas Sarjit.

Pasukan Jepun membuka jaringan seawal minit ketiga melalui Kazumasa Matsumoto sebelum Malaysia menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti oleh Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit kelima sebelum Faizal Saari kemudiannya membawa Malaysia mendahului pada minit ke-21, tetapi Jepun pantas menyamakan kedudukan melalui Yuki Chiba pada minit ke-24.

Perlawanan terus sengit apabila Faizal meledak jaringan sudut penalti pada minit ke-32 untuk menjadikan kedudukan 3-2, namun Jepun terus memberikan cabaran apabila Matsumoto sekali lagi menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-37.

Malaysia hampir mencipta kemenangan apabila Mohd. Fitri Saari menjaringkan gol pada minit ke-47, tetapi jaringan lewat daripada Seren Tanaka pada minit ke-59 memaksa perlawanan diheret ke penentuan shoot-out.

Dalam penentuan penalti, Jepun tampil lebih tenang apabila Kosei Kawabe, Kazumasa Matsumoto, Seren Tanaka dan Tsubasa Tanaka berjaya menyempurnakan peluang mereka sementara Malaysia hanya mampu menjaringkan dua gol menerusi Faizal Saari dan Norsyafiq Sumantri, sekali gus menyaksikan kekalahan 2-4 yang mengecewakan.

Sarjit turut menekankan bahawa terdapat beberapa kelemahan terutama pada saat-saat akhir perlawanan yang perlu diperbaiki segera jika skuad negara ingin mencapai keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Kami bermain baik dalam beberapa perlawanan kecuali ketika bertemu India dan China. Kami perlu lebih bijak dalam mengawal perlawanan apabila mendahului, terutamanya dalam lima minit terakhir,” tambah beliau.

Kekalahan ini menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tempat keenam, jauh daripada pencapaian edisi terdahulu apabila skuad Speedy Tigers berjaya menduduki tempat kedua. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI