fbpx

701 penumpang feri terkandas akibat cuaca buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN.

ALOR SETAR – Seramai 701 penumpang feri yang berlepas dari Terminal Feri Kuala Kedah, di sini ke Langkawi terkandas ekoran cuaca buruk dengan ombak setinggi empat meter di perairan negeri ini, hari ini.

Pegawai Operasi Ferry Line Kuala Kedah, Ahmad Azizan Aziz berkata, penumpang yang terkandas itu melibatkan tiga feri iaitu pada pukul 1.30 tengah hari serta pukul 2 dan 2.30 petang.

“Feri pertama iaitu pada pukul 1.30 tengah hari sudah berlepas, namun terpaksa berpatah balik ke Kuala Kedah 30 minit selepas itu dan tidak dapat ke Langkawi kerana cuaca tidak mengizinkan. Laut sangat bergelora dan kapten feri mengambil tindakan untuk berpatah balik.

“Kemudian kita membuat keputusan untuk membatalkan perjalanan pada pukul 2 dan 2.30 petang kerana laut masih beralun teruk,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, seramai 701 penumpang yang terjejas terdiri daripada 120 penumpang feri pukul 1.30 tengah hari, 151 penumpang (2 petang) dan 430 penumpang (2.30 petang),” ujarnya

Beliau menambah, terdapat sebanyak lapan perjalanan feri dari Terminal Feri Kuala Kedah hari ini iaitu lima yang berlepas pada pukul 7.30 pagi, 8 pagi, 10 pagi, 12 tengah hari dan 1 tengah hari selamat sampai ke Langkawi.

“Kita menasihatkan agar penumpang yang terkandas menukar tiket mereka kepada waktu lain atau menuntut kembali wang melalui saluran ditetapkan.

“Jadual feri untuk esok pula kita akan cuba memantau keadaan semasa laut dan perkembangan terkini akan diberitahu dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI