fbpx

[VIDEO] Stadium Shah Alam ‘tumbang’ sejak Khamis lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video perobohan Stadium Shah Alam.

KLANG – Kerja-kerja merobohkan Stadium Shah Alam memasuki fasa melibatkan struktur utama termasuk bumbung yang dimulakan sejak Khamis lalu.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd. Najwan Halimi berkata, ia akan diteruskan sehingga minggu hadapan sebagai sebahagian proses perobohan yang dijangka selesai sepenuhnya Mei tahun depan.

Katanya, proses perobohan dilakukan dengan teratur dengan mengambil kira semua faktor bagi mengelakkan gangguan kepada penduduk setempat termasuk keselamatan serta masalah debu.

“Kerja perobohan memang sudah mula lama, cuma (yang melibatkan struktur utama) baru-baru ini kita ada buat perobohan yang agak besar melibatkan struktur bumbung stadium.

“Ia akan diteruskan lagi pada minggu hadapan, cuma yang kita sasarkan menjelang Mei 2025, akan selesai prosesnya,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Baru-baru ini tular video berdurasi 11 saat memaparkan perobohan bumbung stadium ikonik tersebut.

Mohd. Najwan bagaimanapun tidak memaklumkan peratusan perkembangan perobohan stadium setakat ini.

Beliau menjelaskan, kerja-kerja pembinaan semula stadium berkenaan akan dilaksanakan secara berserentak dengan perobohan.

“Proses tersebut kita cuba lakukan serentak untuk mulakan kerja-kerja pembinaan semula tetapi itu bergantung kepada tahap atau proses perobohan tersebut,” jelasnya.

Dalam perkembangan berlainan, Mohd. Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata, beliau terus menerima komen-komen bersifat sentimental daripada orang ramai termasuk dalam media sosial berhubung kenangan hampir 30 tahun Stadium Shah Alam.

“Ada komen bersifat sentimental terhadap Stadium Shah Alam. Bahkan saya sendiri pun ada nilai sentimental sendiri di Stadium Shah Alam.

“Saya anak Selangor dan saksikan pelbagai peristiwa berlaku di sana. Namun, kita kena terus melangkah sesuai dengan keperluan semasa. Ia perlu dibina semula untuk teruskan kelangsungan pembangunan sukan di Selangor,” katanya.

Stadium Shah Alam yang mula dibina pada tahun 1994 mula dirobohkan selepas syarikat pemaju menerima permit kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Perobohannya bagi memberikan ruang buat pembangunan KSSA yang dijangka siap pada 2026 dengan turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti hotel dan pusat beli-belah bersambungan dengan Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 di Seksyen 13, di sini.

Kali terakhir, Gergasi Merah menggunakan Stadium Shah Alam ialah pada Februari 2020 sebelum berpindah ke Stadium Petaling Jaya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI