fbpx

Syamsul Yusof noktah gerhana 5 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAMSUL akhirnya kembali ke pangkuan keluarga selepas hampir empat.

BERAKHIR sudah penantian sutradara Datuk Yusof Haslam dan isterinya, Datin Patimah Ismail apabila darah daging yang ditunggu-tunggu, Syamsul, 40, muncul depan mata.

Selepas hampir lima tahun tidak pulang ke kediaman famili di Taman Melawati yang menjadi tempat Syamsul membesar, kunjungan pada malam Rabu lalu dianggap sebagai rahmat Allah.

Tidak putus berdoa, rajuk si anak yang menjarakkan diri dengan keluarga sejak kemelut rumah tangga bersama bekas isterinya, Puteri Sarah tercetus sekitar tahun 2020 kini semakin reda.

Enggan peduli punca Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof kembali ke pangkuan keluarga terutama selepas menceraikan isteri baharu, Ira Kaza, Yusof hanya mahu semuanya kekal tenang.

Sekian lama tidak duduk semeja, penerbit berusia 70 tahun itu lebih selesa tidak mengungkit hal yang sudah berlalu sekali gus mengeruhkan suasana.

“Boleh dikatakan dalam dua jam juga kami sekeluarga makan malam sambil berbual mengenai banyak perkara.

“Apabila berpeluang duduk semeja, menikmati hidangan air tangan emaknya selepas bertahun-tahun tidak berbuat sedemikian, saya pasti Syamsul tidak ingin diganggu pertanyaan tidak perlu.

“Kita lupakan kisah lalu, buka buku baharu. Kepulangannya kami terima dengan tangan terbuka, ini bukan momen mengenang cerita lampau,” katanya kepada Pose.

KEPULANGAN Syamsul melegakan hati ibu bapanya yang menunggu detik berharga itu hampir lima tahun lalu.

Momen istimewa

Tambah bapa kepada tiga anak itu, bukan sebelum ini mereka langsung tidak bersua muka, tetapi tidak seperti detik istimewa pada malam tersebut.

“Sebenarnya dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dia ada bertemu ibunya beberapa kali tetapi hanya sekejap dan tidak masuk ke rumah.

“Tak mengapalah, itu cerita lama. Kita tumpukan sahaja pada situasi sekarang. Paling penting ibunya sudah tidak perlu risau lagi tentangnya.

“Lihat isteri gembira, saya pun bahagia. Itu sahaja saya minta doa. Anak-anak saya sihat dan hidup sejahtera,” luahnya.

Menunggu detik kepulangan Syamsul ke pangkuan keluarga, Yusof memaklumkan Patimah menyingsing lengan menyediakan lauk kegemaran puteranya itu iaitu masak lemak kuning otak lembu.

Isterinya berhajat menyajikan hidangan makan malam hasil air tangan sendiri sebaik Syamsul memaklumkan mahu balik ketika menghubungi Patimah Isnin lalu.

“Apabila Syamsul hubungi ibunya dan beritahu nak balik rumah jumpa kami berdua, saya panjatkan rasa syukur kepada Allah atas kemanisan dihadirkan buat keluarga kami.

“Sudah tentu ibunya paling teruja sampai minta ingatkan agar jangan lupa temankan dia ke pasar pagi sebab nak beli paru serta otak lembu,” ujarnya.

Air mata syahdu

Akui Yusof, hanya air mata menitis di pipi mereka sebaik melihat kelibat darah daging yang ditunggu-tunggu selama ini ada depan mata dan memberi pelukan hangat.

“Alhamdulillah. Allah makbulkan doa kami. Tiada yang lebih membahagiakan ibunya daripada melihat Syamsul ada depan kami, bersalaman meminta maaf atas kekhilafannya seterusnya dapat memeluknya semula,” kongsinya.

Kata pengarah filem Sembilu itu, sebelum meminta diri, Syamsul berpesan agar mereka berdua jaga diri dan kesihatan.

Malam Rabu lalu isteri Yusof mengejutkan ramai apabila berkongsi foto bersama Syamsul yang sudah kembali ke pangkuan mereka termasuk bersama bekas isteri pertama Syamsul iaitu Puteri Sarah.

Sebelum ini Syamsul dikatakan sudah lama tidak pulang atau berhubung dengan keluarga selepas berlaku pergolakan rumah tangga dengan Puteri Sarah hingga membawa kepada perceraian.

Konflik tersebut berlanjutan apabila pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu bernikah secara rahsia dengan Ira Kazar yang juga anak kepada pelakon veteran, Kazaruddin Saisi.

Yusof pula ketika itu mengakui sudah reda dan berlapang dada sekiranya Syamsul tetap berdegil enggan pulang ke kediamannya.

Rata-rata netizen berharap hubungan kekeluargaan itu kembali erat sekali gus Syamsul mampu menggembirakan hati orang tuanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI