TOKYO – Seorang lelaki di Jepun ditahan kerana menghubungi isterinya lebih 100 kali sehari tanpa bersuara, menggunakan nombor telefon tidak dikenali, lapor portal berita Vnexpress semalam.
Lelaki berusia 38 tahun dari Bandar Amagasaki, wilayah Hyogo itu ditahan pada minggu lalu atas kesalahan mengintip isterinya sendiri. Ia merupakan satu kesalahan jenayah di Jepun dan pelaku boleh dikenakan hukuman penjara atau denda.
Suspek didapati membuat panggilan ‘senyap’ berulang kali kepada pasangannya yang tinggal serumah itu bermula 10 Julai hingga 4 Ogos lalu.
Menurut polis, kira-kira 100 panggilan dibuat pada setiap hari menggunakan nombor yang tidak dikenali.
“Panggilan itu diterima ketika suspek tidak berada di atas katil atau telefon bimbitnya tidak digunakan oleh mangsa untuk bermain permainan. Ia menyebabkan mangsa berasa curiga dan membuat laporan pada 24 Julai lalu,” kata polis.
Mangsa yang berusia 31 tahun memberitahu pihak berkuasa bahawa pemanggil misteri terbabit hanya berdiam sehingga dia menamatkan panggilan.
“Bahkan, ia dibuat daripada nombor yang tidak dikenali, menjadikan dia sukar untuk menyekat nombor tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, siasatan mendapati bahawa pelaku adalah suaminya sendiri.
Menurut laporan Japan Today, pasangan tersebut tidak mempunyai masalah sebelum kejadian berlaku.
“Saya sayang isteri saya dan membuat panggilan senyap kepadanya,” kata suspek ketika disoal siasat. – AGENSI