fbpx

Serbu 6 kilang e-waste, rampasan cecah RM41.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kilang memproses e-waste yang digempur penguat kuasa di Pandamaran, Klang, Khamis lalu.

PETALING JAYA – Enam buah kilang menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste haram dengan mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap bulan digempur penguat kuasa, di kawasan Pandamaran, Klang, Selangor, Khamis lalu.

Serbuan itu dijalankan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dengan kerjasama Wildlife Crime Bureau (WCB), Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman (AMLA), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, Suruhanjaya Tenaga (ST), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Pemangku Pengarah JKDNKA, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi yang dijalankan bertindak mensasarkan enam premis yang terlibat aktiviti pemprosesan logam, plastik, dan e-waste.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai kesalahan termasuk kegagalan mengemukakan dokumentasi sah untuk beroperasi di kawasan tersebut.

“Seramai enam warga tempatan dan 43 warga asing berusia antara 22 hingga 60 tahun ditahan untuk tindakan lanjut.

“Warga tempatan yang ditahan dipercayai bertindak sebagai penyelaras yang mengambil keuntungan daripada aktiviti haram tersebut, manakala kilang yang beroperasi tanpa lesen itu didapati telah mengaut jutaan ringgit dengan menggajikan pekerja asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pelupusan e-waste dan plastik secara haram boleh menimbulkan risiko kesihatan serius kepada orang ramai disebabkan mengandungi bahan toksik.

Menurut Mohd Yusoff, pihak berkuasa telah menyita pelbagai bahan elektrik dan elektronik yang dikategorikan sebagai e-waste bertujuan untuk dikitar semula sebelum diproses menjadi logam berharga seperti tembaga, besi, termasuk timah.

“Jumlah anggaran nilai barang yang disita adalah kira-kira RM 41,588,501.

“Barangan yang disita termasuk 2,800 kilogram keluli tahan karat, aluminium (83,700 kg), besi (6,000 kg), besi pepejal (6,000 kg), kotak CPU (10,500 kg), bateri (3,000 kg) tembaga (37,000 kg), plastik (30,000 kg), kabel (103,000 kg)
mesin proses e-waste (50 unit), jentera pengangkut (14 unit), kontena (5 unit) dan dokumen serta invois,” katanya.

Tambah Mohd Yusoff, siasatan dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007, Undang-Undang Kecil Iklan (Majlis Perbandaran Klang) 2007, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta Imigresen 1959/63, dan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

Kata beliau, semua suspek dan barangan yang disita di bawah Akta Imigresen telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

“Kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian telah dikenakan kompaun oleh pihak MBDK kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen.

“JAS telah mengenakan kompaun di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 untuk kesalahan tiada sistem pengolahan efluen bagi aktiviti cucian plastik yang dihasilkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI