PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil menarik nafas lega apabila pasukannya kembali berada di landasan kemenangan selepas menewaskan Kuching City 4-0 dalam saingan Liga Super di Stadium MBPJ kelmarin.
Menurut Nidzam, keputusan tersebut boleh memberi suntikan motivasi kepada pasukan dalam usaha mencipta kejutan pada aksi pertama saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) minggu depan selain petanda mereka sudah melupakan aksi mengecewakan di final Piala FA.
Bagaimanapun, Nidzam mengingatkan agar barisan pemain tidak terlalu yakin kerana saingan di pentas Asia adalah berbeza kerana bakal menentang lawan yang lebih kuat.
“Ya, kita ada lakukan persiapan khas menjelang ACL2. Namun, saya juga tidak mahu kata (kemenangan ini) membuatkan kita terlalu yakin
“Apa yang pasti, ini adalah pengalaman pertama kita selepas hampir lapan tahun bermain di pentas Asia,” katanya selepas tamat perlawanan.
Pada aksi tersebut, empat pemain import Gergasi Merah mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri selepas Ronnie Fernandez, Ali Olwan, Umar Eshmurodov dan Alvin Fortes mencetak nama selaku penjaring.
Skuad Merah Kuning akan bertandang ke Bangkok untuk menentang Muangthong United pada Khamis depan dalam aksi pertama Kumpulan H. – KOSMO! ONLINE